Saturday, November 08, 2025

Pemuda Langkawi Cedera Parah Lepas Langgar Anjing, Kini Terlantar Di Rumah

by
November 8, 2025
1 min read

LANGKAWI – Sebak hati membaca kisah seorang pemuda, Muhammad Affiq Fitri, 23, yang kini terlantar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 26 Oktober lalu dipercayai akibat melanggar seekor anjing.

Menerusi perkongsian menyentuh hati di platform Threads oleh pengguna @norsaidilangkawi, Affiq dirawat di Hospital Sultanah Maliha selama 10 hari, termasuk dua hari di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Namun, ibunya terpaksa meminta kebenaran untuk keluar hospital lebih awal kerana bimbang tidak mampu menanggung kos rawatan memandangkan beliau hanya berniaga nasi pada waktu pagi untuk menyara kehidupan seharian.

Menurut perkongsian itu lagi, @norsaidilangkawi hadir ke rumah keluarga tersebut di Kampung Mata Air, Langkawi bagi menyerahkan kerusi roda dan lampin pakai buang hasil sumbangan seorang hamba Allah.

“Keadaan Affiq masih terlantar dan ingatan belum pulih sepenuhnya. Semoga Affiq cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.

Netizen Titip Doa

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dan doa daripada warganet yang tersentuh hati dengan nasib menimpa pemuda itu dan ibunya.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki adik Muhammad Affiq Fitri serta keluarga. Semoga diberikan kesihatan seperti sedia kala,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi menulis: “Allahuakbar, syafakallah buat M. Affiq. Ringankan kesakitannya Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim. Aamin.”

Isu Anjing Liar Di Langkawi

Dalam masa sama, ada juga netizen meluahkan kebimbangan mengenai masalah anjing liar di pulau peranginan itu yang dikatakan sering menjadi punca kemalangan.

“Eksiden dengan anjing lagi… bila lah nak selesai masalah anjing kat Langkawi ni,” kata seorang pengguna.

Manakala yang lain menambah, “Kalau nampak anjing liar banyak, buat report saja pada pihak majlis, biar depa mai tangkap. Jangan peduli geng pencinta haiwan, bila orang kemalangan dengan anjing liar bukan depa nak tolong pun.”

Turut dikongsikan, doa daripada pengguna lain yang mendoakan kesembuhan dan rezeki buat keluarga tersebut.

“Ya Allah, angkatkan penyakit adik ini, sembuhkanlah dia. Kasihanilah ibunya Ya Allah, murahkan rezeki mereka dan jauhkan daripada segala musibah. Aamin,” tulis seorang lagi.

Semoga Dipermudahkan

Kisah Affiq Fitri menyentuh hati ramai pihak yang turut berharap agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi meringankan beban keluarganya.
Semoga pemuda ini segera pulih dan keluarganya terus tabah menghadapi ujian.

Untuk makluman, individu yang berkongsi kisah ini, Nor Saidi bin Haji Nanyan, merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Kedah, yang pernah berkhidmat di bawah Barisan Nasional (UMNO). – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Model Rusia Buat Laporan Polis, Dakwa Jadi Mangsa Gangguan Lucah Ketika Live

KUALA LUMPUR – Seorang model warga Rusia, Alice Kasimova, tampil membuat laporan

Selepas 7 Tahun, Ibu ‘Mukagengster’ Peluk Islam – “Akhirnya Mak Titew…”

KUALA LUMPUR – Pemuda yang pernah tular dengan kisah penghijrahannya memeluk Islam,