Friday, December 12, 2025

Dua Penyanyi Dangdut Maut Dalam Kemalangan Di Sulawesi Selatan

by
November 11, 2025
1 min read

SULAWESI SELATAN, INDONESIA – Dua penyanyi dangdut wanita tempatan dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Poros Nasional Takalar–Jeneponto, Sulawesi Selatan, malam Ahad lalu.

Mangsa dikenali sebagai Icha Voc dan Nur Insani, dua penyanyi popular di daerah berkenaan yang sering dijemput menghiburkan majlis setempat serta acara persendirian.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang waktu tempatan ketika mereka dalam perjalanan menghadiri sebuah acara nyanyian di luar daerah.

Hilang kawalan sebelum terbabas

Saksi memaklumkan, kenderaan dinaiki mereka dilihat hilang kawalan sebelum terbabas, dipercayai akibat jalan gelap dan licin serta kelajuan tinggi.

Difahamkan, pemandu kenderaan turut cuba mengelak seorang pejalan kaki yang sedang menuju ke masjid, sebelum kenderaan tersebut terbabas dan mengalami kemalangan serius.

Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan menyayat hati di bawah kolong sebuah lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian tragis gegar media sosial

Berita pemergian dua penyanyi muda itu mengejutkan ramai rakan artis serta peminat di Sulawesi Selatan. Akaun media sosial mereka yang sebelum ini dipenuhi dengan jadual persembahan kini bertukar menjadi ruang takziah dan luahan duka.

“Ya Allah, tak kusangka… betul-betul ajal tak ada yang tahu,” tulis seorang pengguna media sosial di ruangan komen akaun Icha Voc.

Seorang lagi rakan artis, Haji Rasul Mika, turut berkongsi rasa sedih di Facebook milik Nur Insani:
“Kemarin masih sempat ikut di MILKA, siang malam Nirinsani di Bantaeng kodong ,” tulisnya, menggambarkan padatnya jadual persembahan arwah sebelum tragedi berlaku.

Sebuah video tular di TikTok turut menunjukkan dua jenazah dipercayai milik Icha dan Nur Insani, ditangisi oleh beberapa wanita dipercayai ahli keluarga dan rakan terdekat.

Pemergian kedua-duanya bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga, malah turut dirasai komuniti hiburan dangdut di Sulawesi Selatan yang mengenali mereka sebagai penyanyi berbakat dan penuh energi. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Erra Fazira Sah Bergelar Isteri Ezwan Zain — Majlis Penuh Syahdu di Rinjani Majestic

KUALA LUMPUR – Primadona filem alaf baharu, Erra Fazira, 51, menamatkan status

Tiada Prospek Kejayaan, AGC Tarik Balik Rayuan Terhadap Pembebasan Rosmah

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan