Wednesday, December 10, 2025

Calon SPM Tabah Teruskan Peperiksaan Walaupun Ayah Meninggal Dunia Secara Mengejut

by
November 26, 2025
1 min read

GEORGETOWN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdullah Fahim menunjukkan ketabahan luar biasa apabila tetap menduduki peperiksaan walaupun menerima berita pemergian ayahnya sejurus selepas tamat menjawab kertas pertama, semalam.

Ayah kepada Ahmad Khairuddin Md Nor dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada awal pagi selepas rebah ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Menurut sumber, keluarga memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah sekitar jam 2.30 pagi namun meminta ia dirahsiakan sehingga selesai Kertas 1 Bahasa Melayu bagi mengelakkan emosi pelajar itu terganggu.

Sebelum memasuki dewan peperiksaan, Ahmad Khairuddin difahamkan ada menyatakan rasa tidak sedap hati, namun berjaya ditenangkan guru kaunseling dan guru bertugas.

Pelajar itu hanya dimaklumkan mengenai pemergian ayahnya selepas tamat peperiksaan pertama.

Imamkan Solat Jenazah Sebelum Sambung Kertas 2

Dalam keadaan penuh hiba, pelajar berkenaan mengimamkan solat jenazah ayahnya dan membantu menguruskan pengebumian sebelum guru-guru membawanya ke SMK Bertam Indah bagi menduduki Kertas 2 Bahasa Melayu sebagai calon tumpang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihak sekolah segera menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bagi memastikan Ahmad dapat meneruskan peperiksaan tanpa gangguan.

“Keluarga pelajar memohon agar beliau dibenarkan menduduki kertas seterusnya, termasuk Bahasa Inggeris dan Sejarah, di sekolah berhampiran,” katanya ketika dihubungi, lapor Malaysia Gazette.

Beliau bersama PPD Seberang Perai Selatan turut menziarahi keluarga bagi memberikan sokongan emosi, manakala guru bertugas dan kaunselor ditetapkan untuk menemani serta memastikan pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil sepanjang peperiksaan.

Reaksi Orang Ramai

Kisah menyayat hati itu turut mencuri perhatian netizen di media sosial, apabila ramai meluahkan rasa sebak dan kagum dengan kekuatan yang ditunjukkan oleh pelajar tersebut.

Rata-rata mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat serta berharap Ahmad terus diberi ketabahan dalam menghadapi situasi itu.

Ada juga yang mengakui tidak mampu menahan sebak membaca kisah tersebut, selain menyifatkannya sebagai ujian berat buat seorang anak yang sedang berjuang demi masa depan.

Kisah Ahmad Khairuddin menjadi contoh ketabahan luar biasa seorang anak yang diuji pada saat getir, namun tetap memilih untuk meneruskan amanah peperiksaan.

Semoga keluarga diberikan kekuatan dan roh ayahandanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Wanita Cuba ‘Cop Parking’, Terkejut Kereta Tetap Masuk Sendiri

CHINA – Dalam situasi harian yang penuh sesak, mencari satu petak parkir

Tabungan Haji Masih Utuh Walaupun Berlumpur, Pasangan Ini Luah Rasa Syukur Selepas Banjir

ACEH – Tular di media sosial apabila sepasang suami isteri berkongsi detik