Friday, December 12, 2025

DAP Hormati Mandat Pengundi, Anthony Loke Ambil Tanggungjawab Penuh Kekalahan PRN Sabah

November 29, 2025
1 min read

KOTA KINABALU – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menzahirkan penghormatan terhadap keputusan para pengundi susulan kekalahan parti itu di semua lapan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurut beliau, DAP menerima sepenuhnya keputusan tidak rasmi tersebut dan menghormati suara rakyat di setiap kawasan terlibat.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Anthony Loke turut mengakui tanggungjawab atas prestasi buruk parti di Sabah.

“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam Pilihanraya Sabah yang ke-17 ini,” katanya.

Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada calon serta parti lain yang menerima mandat baharu daripada pengundi.

Anthony Loke memaklumkan bahawa pimpinan tertinggi DAP akan melakukan penilaian semula, mengambil iktibar daripada keputusan tersebut dan memperbaiki kelemahan bagi memastikan sokongan rakyat dapat dipulihkan pada pilihan raya akan datang.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa DAP Sabah masih mempunyai dua wakil di peringkat Parlimen, dan kedua-duanya akan menggandakan usaha khidmat rakyat di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.

Untuk rekod, DAP tewas di lapan kerusi yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat parti — Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Erra Fazira Sah Bergelar Isteri Ezwan Zain — Majlis Penuh Syahdu di Rinjani Majestic

KUALA LUMPUR – Primadona filem alaf baharu, Erra Fazira, 51, menamatkan status

Tiada Prospek Kejayaan, AGC Tarik Balik Rayuan Terhadap Pembebasan Rosmah

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan