KOTA KINABALU, 5 Dis — Pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin benar-benar menggegarkan bumi Sabah, apabila ribuan rakyat hadir memenuhi ruang solat jenazah bagi memberi penghormatan terakhir kepada tokoh politik itu.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @Zhiddinaziz, beliau berkongsi rasa terkejut dengan lautan manusia yang hadir:
“Sampai je Malaysia, saya terus ke Sabah. Terkejut sedaghe! Tak pernah saya solat jenazah seramai ini. Lautan manusia… seolah seluruh tanah Sabah berkumpul mengiringi pemergian Allahyarham DSP Bung Moktar.”
Pemergian Disahkan Anak Allahyarham
Mengikut laporan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi, di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita duka tersebut dikongsi sendiri oleh anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar, menerusi Facebook:
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H). Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.”
Dikunjungi Pemimpin & Rakyat Sejak Semalam
Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam akibat masalah kegagalan buah pinggang. Sejak berita mengenai keadaan beliau tersebar lewat petang, ahli keluarga, rakan-rakan serta pimpinan politik dilihat berkumpul di hospital bagi memberikan sokongan.
Di media sosial, warganet turut menyampaikan ucapan takziah dan doa:
“Al-Fatihah untuk saudara Muslimku”
Pemergian Bung Moktar bukan sekadar kehilangan buat dunia politik Sabah, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang mengenali beliau sepanjang perkhidmatan dan kehidupannya. Semoga Allah mengangkat darjatnya dan memberi kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan. – The Malaysian Update
