KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu keputusan analisis kimia serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berhubung kes penemuan janin bayi dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, pada 11 Disember lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan tersebut penting bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh.
“Pihak polis masih menunggu keputusan kimia dan DNA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan setakat ini turut memfokuskan usaha mengenal pasti lokasi sebenar beg yang mengandungi janin bayi berusia kira-kira 25 minggu itu sebelum ditemui di dalam lori sampah berkenaan.
Polis juga masih belum memperoleh maklumat lengkap berkaitan identiti janin tersebut dan mengalu-alukan kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.
Menurut laporan Kosmo!, setakat ini pihak polis masih giat mengesan individu yang terlibat serta meneliti semua petunjuk termasuk laluan lori sampah dan kawasan pembuangan bagi merungkai kes berkenaan.
Empat Individu Dirakam Keterangan
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan bahawa pihaknya telah merekod keterangan empat individu bagi membantu siasatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa janin bayi tersebut ditemui dalam keadaan mengalami kecederaan pada bahagian perut, tengkorak kepala pecah serta tali pusat yang telah putus.
Polis menerima laporan berhubung penemuan janin bayi lelaki berukuran 35 sentimeter itu pada jam 12.51 tengah hari, 11 Disember lalu. – The Malaysian Update
