KUALA LUMPUR – Seorang pengguna TikTok, dikenali sebagai @hellobam25, berkongsi pengalaman perit selepas disahkan dijangkiti kuman kencing tikus sehingga terpaksa melalui ujian berat dalam hidupnya.
Menurutnya, bermula dari Oktober hingga Disember 2024, beliau tidak mampu bersuara selama tiga bulan dan hanya bergantung kepada susu yang disalurkan melalui tiub tanpa sebarang makanan pejal.
“Alhamdulillah aku reda dengan hati terbuka, walaupun Allah uji aku macam ni. Pagi, petang, siang, malam hanya minum susu saja,” tulisnya di TikTok.
Hilang Kedua Belah Kaki Dan Jari Tangan
Akibat jangkitan itu, kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 5 Disember 2024, diikuti lapan jari tangan pada 31 Ogos 2025.
Beliau mengakui pernah mengambil mudah soal kebersihan ketika bekerja menjual buah bersama rakan, malah sering makan buah tanpa dibasuh terlebih dahulu.
“Masa tu saya ambil mudah, setiap kali nak makan buah terus makan, tak basuh pun. Itulah punca saya jatuh sakit sampai jadi begini,” katanya.
Belajar Redha Dan Bersyukur
Walaupun kehilangan anggota badan, beliau tetap reda dan menganggap ujian ini sebagai tanda kasih sayang Allah.
“Saya pun reda hilang kedua belah kaki dan hilang lapan jari tangan saya,” balasnya kepada seorang pengguna lain yang turut berkongsi pengalaman serupa dalam ruang komen.
Kisah ini mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan warganet menitipkan doa dan semangat buatnya agar terus tabah menghadapi dugaan.
Apa Itu Kencing Tikus?
Kencing tikus atau Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Leptospira yang biasanya ditemui dalam air atau makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan seperti tikus, kucing, anjing atau lembu.
Antara gejala awal termasuk demam panas, sakit kepala, muntah, cirit-birit, sakit otot dan mata menjadi kemerahan. Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan kerosakan organ, kegagalan buah pinggang, pendarahan dalaman dan juga kematian.
Cara Elak Dan Atasi
Bagi mengelakkan jangkitan ini, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh buah-buahan atau makanan sebelum dimakan, mengelakkan diri daripada bermain atau mandi di air bertakung, serta menggunakan sarung tangan dan kasut getah ketika mengendalikan sampah atau kawasan kotor. Kawasan rumah juga perlu sentiasa dijaga agar bebas daripada kehadiran tikus. Sekiranya mengalami gejala mencurigakan selepas terdedah dengan persekitaran berisiko, segera dapatkan rawatan di hospital untuk mengelakkan komplikasi lebih serius. – The Malaysian Update