Saturday, October 25, 2025

Doa Jiran ‘Menembusi Langit’, Kisah Safitri Diceraikan Dua Hari Sebelum Suami Dilantik PPPK Raih Simpati Ramai

by
October 25, 2025
1 min read

ACEH – Kisah pilu seorang wanita dari Aceh, Indonesia kembali mengundang sebak di media sosial apabila tular video perpisahan menyayat hati selepas diceraikan suami hanya dua hari sebelum lelaki itu dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Perjanjian Kerja (PPPK).

Wanita berkenaan, Safitri, berkongsi pengalaman hidupnya di Facebook melalui akaun Safitri Alshop Aceh, manakala rakannya, Rita Sugiarti Ricentil Panggabean, memuat naik video berdurasi satu minit 30 saat yang memaparkan detik Safitri meninggalkan rumah.

Dalam video tersebut, Safitri dilihat menaiki sebuah van L300 sambil dibantu jiran-jiran yang prihatin mengangkat barangan rumah untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Aceh Selatan.

Suasana penuh emosi itu diselubungi tangisan dan ucapan perpisahan daripada sahabatnya:

“Selamat jalan sahabat kami, Fitri. Semoga kebahagiaan segera menyusul dalam hidupmu.”

Video tersebut kini ditonton ratusan ribu kali di pelbagai platform media sosial dan dibanjiri komen warganet yang mendoakan agar Safitri terus kuat serta dimurahkan rezeki selepas melalui dugaan berat itu.

Diceraikan Dua Hari Sebelum Pelantikan

Menurut Safitri, perceraian berlaku pada 15 Ogos, manakala suaminya dilantik sebagai PPPK pada 17 Ogos lalu.

Dalam luahan hatinya, Safitri mendedahkan pengorbanannya selama ini seolah-olah tidak dihargai, termasuk membeli baju yang dipakai suaminya pada hari pelantikan menggunakan hasil jualan sayur dan cili.

“Saya sudah menuntut keadilan, melapor ke sana sini, tapi tiada hasil. Baju pelantikan itu saya beli hasil jual sayur dan cili untuk suami. Tapi saya tidak sangka dibalas begini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa video perpisahan itu dikongsi dengan izinnya sendiri supaya orang ramai tahu kisah sebenar yang dilaluinya.

“Hargailah wanita yang menemani anda dari kosong hingga berjaya. Harta dan pangkat tidak akan dibawa mati,” ujarnya lagi.

Doa Jiran Bertudung Hijau Curi Tumpuan

Namun di sebalik kisah sedih itu, kehadiran seorang jiran bertudung hijau mencuri perhatian ramai selepas tular rakaman beliau mendoakan Safitri dengan penuh emosi.

Wanita berkenaan dilihat menadah tangan sambil menitipkan doa agar Safitri dimurahkan rezeki, diberikan kekuatan dan dikurniakan kebahagiaan selepas diuji dengan perpisahan.

“Doa ibu bertudung hijau itu terus menembusi langit,” tulis seorang pengguna media sosial yang tersentuh menonton video berkenaan.

Kehadiran jiran-jiran yang setia membantu Safitri berpindah turut menunjukkan kasih sayang dan semangat kejiranan yang masih utuh, walaupun dalam suasana penuh kesedihan.

Komen Warganet

Rata-rata warganet meluahkan rasa simpati dan kagum dengan ketabahan Safitri serta keikhlasan mereka yang berada di sekelilingnya.

“Buat Safitri, teruslah kuat dan bersyukur atas setiap ujian. Gunakan peluang ini untuk bangkit semula dengan lebih bahagia,” tulis seorang pengguna.

“Doa ibu bertudung hijau itu pasti dimakbulkan. Semoga Safitri tidak lupa kepada jiran-jiran yang selalu menyokongnya ketika susah,” tambah yang lain.

Kisah ini bukan sekadar tentang perpisahan, tetapi juga tentang ketabahan, keikhlasan dan doa tulus seorang jiran, yang menjadi simbol kasih dan kekuatan sebenar seorang wanita.

BACA: Pegawai Pemerintah Dipecat Gara-Gara Ceraikan Isteri, Shella Saukia Tampil Hulur Bantuan

Sementara itu memetik laporan media tempatan, suami Safitri yang baru dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Perjanjian Kerja (PPPK) pada 17 Ogos lalu dilaporkan dipecat daripada jawatan tersebut selepas kisah rumah tangganya tular di media sosial. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Pegawai Pemerintah Dipecat Gara-Gara Ceraikan Isteri, Shella Saukia Tampil Hulur Bantuan

ACEH – Nama Shella Saukia kembali jadi sebutan di media sosial selepas

Beberapa Kawasan di Perak Dilanda Banjir Kilat, Penduduk Dinasihat Berwaspada

IPOH — Beberapa kawasan di negeri Perak dilapor dilanda banjir kilat malam