KUALA TERENGGANU – Tular di TikTok perkongsian oleh Zulfaqar Aslam, atau nama penuhnya Zulfaqar Aslam Bin Zulkefli, seorang OKU fizikal (cerebral palsy) yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menerusi video yang dikongsikan di akaun miliknya, Zulfaqar berkongsi detik penuh emosi selepas keluar dari dewan konvokesyen, dengan senyuman dan langkah tabah meskipun dalam keadaan fizikal terbatas.
Dalam hantaran awalnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pensyarah, rakan-rakan serta pihak pengurusan UniSZA atas sokongan mereka sepanjang empat tahun pengajian. Zulfaqar juga meluahkan rasa syukur kerana mampu bertahan sehingga ke hari bersejarah itu.
“Alhamdulillah… ibu bapa seorang guru juga sebenarnya,” tulisnya ringkas di ruangan komen, tanda terima kasih buat keluarga yang banyak memberi dorongan.
Disambut dengan ucapan tahniah dan doa netizen
Video berkenaan menerima ribuan tontonan dan pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang tersentuh dengan semangat Zulfaqar. Ramai memuji ketabahannya dan berharap agar peluang pekerjaan turut diberikan kepada graduan OKU sepertinya.
Seorang pengguna turut mencadangkan agar pihak kerajaan mempertimbangkan untuk menyerap graduan berkeperluan khas ke sektor awam atau GLC, sebagai penghargaan kepada usaha mereka yang luar biasa.
Ada juga yang meluahkan rasa kagum dan pada masa sama mengingatkan bahawa setiap insan diciptakan dengan ujian tersendiri, dan kejayaan Zulfaqar adalah bukti bahawa kekurangan fizikal bukan halangan untuk berjaya.
Seorang guru pendidikan khas pula menulis bahawa beliau berasa bangga dan terharu melihat pencapaian Zulfaqar yang berjaya membuktikan kemampuan diri meskipun diuji dengan kekangan fizikal.
“Hari ini hari dia…”
Antara komen yang turut menarik perhatian datang daripada seorang pengguna bernama Zulhana Ana, yang menjelaskan bahawa keluarga Zulfaqar sentiasa berada di sisinya dan menjadi pendorong utama dalam setiap langkah kejayaan.
“Ada je family dia, tidak pernah meninggalkan dia walau dalam kondisi apapun. Sentiasa berada di hadapan, di belakang, kiri dan kanan. Bukan sahaja ibu bapa dan adik-beradiknya, malah seluruh keluarga besar sentiasa menyokong. Hari ini adalah hari dia, biarlah dia menikmati dengan cara dia sendiri,” tulisnya.
Kisah Zulfaqar bukan sekadar tentang segulung ijazah, tetapi tentang semangat luar biasa seorang anak muda yang tidak pernah berputus asa, disokong keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang.
Tahniah Zulfaqar Aslam, semoga terus melangkah jauh dan menjadi inspirasi kepada ramai! – The Malaysian Update
