KUALA LUMPUR – Seorang model warga Rusia, Alice Kasimova, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa perbualan berunsur lucah oleh seorang pempengaruh lelaki tempatan dalam satu sesi siaran langsung di media sosial, baru-baru ini.
Difahamkan, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 5.37 pagi tadi, susulan tularnya rakaman video insiden tersebut di media sosial.
Komen lucah ketika live
Dalam video berkenaan, pempengaruh terbabit dikatakan mengeluarkan komen berunsur lucah terhadap Alice yang ketika itu sedang duduk berhampiran sebuah restoran.
“Saya membuat laporan bukan kerana marah, tetapi bagi menegakkan hak wanita. Saya tidak mahu wanita lain berasa takut untuk mempertahankan diri apabila diperlakukan secara tidak sopan di tempat awam,” katanya.
Siasatan sedang dijalankan
Sementara itu, pihak polis mengesahkan laporan telah diterima dan siasatan kini sedang dijalankan.
Warganet kecam tindakan tidak bermoral
Kes berkenaan turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, yang rata-ratanya mengecam tindakan merakam individu tanpa kebenaran serta mengeluarkan komen berbaur lucah di tempat awam.
Sebagai rekod, beberapa kejadian melibatkan gangguan seksual secara terbuka sebelum ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa, dengan peringatan agar orang ramai lebih berhati-hati menggunakan platform media sosial dan menghormati privasi individu lain. – The Malaysian Update
