KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela atas faktor kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Shukri dalam satu sidang media yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Menurut laporan BERNAMA, Mohd Shukri memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tengah hari tadi.
Sehubungan itu, beliau berkata peletakan jawatan berkenaan hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri serta rakyat Perlis atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran negeri.
Beliau juga menzahirkan harapan agar pentadbiran kerajaan negeri Perlis terus berjalan lancar demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat. – The Malaysian Update
