MELAKA – Dua beranak ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, Cheng, awal pagi Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Zabanah Abu Hussin, 57, seorang ibu tunggal, dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman, 25. Kedua-duanya dipercayai maut akibat keracunan gas karbon monoksida.
Penemuan Mengejut
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 pagi daripada orang awam yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Memetik laporan Sinar Harian, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa disyaki lemas akibat keracunan gas karbon monoksida selepas berhenti untuk berehat tanpa mematikan enjin kenderaan.
“Anggota polis yang tiba di lokasi mendapati enjin kenderaan dan pendingin hawa masih hidup selain tingkap juga tertutup.
“Kedua-dua beranak yang lengkap berpakaian dalam keadaan berbaring di kerusi hadapan dan pegawai perubatan Hospital Melaka mengesahkan kedua-duanya sudah meninggal dunia,” katanya.
Bedah Siasat & Siasatan Polis
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang dijadualkan jam 8.30 pagi.
“Siasatan masih dalam tindakan dan sampel darah mangsa dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis dadah, alkohol dan gas karbon monoksida,” jelasnya lagi.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu laporan penuh. Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian yang tular itu. – The Malaysian Update