Wednesday, October 01, 2025

Bayi 12 Bulan Maut, Pemandu Lori Ditahan – Saksi Cerita Detik Cemas di Tol Bukit Kajang

by
September 28, 2025
1 min read

KAJANG – Suasana pilu menyelubungi Plaza Tol Bukit Kajang selepas satu kemalangan tragis melibatkan empat kenderaan meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan, manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian pada Sabtu pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.50 pagi apabila sebuah lori yang datang dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya dipercayai mengalami masalah brek ketika tiba di kawasan plaza tol.

“Pemandu lori gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke lorong tol lapan dan sembilan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Akibat rempuhan itu, bayi berkenaan ditemui di bawah sebuah kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tujuh mangsa lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu Lori Ditahan

Polis mengesahkan pemandu lori tersebut telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut. Tindakan itu diambil susulan dakwaan awal bahawa lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik, menyebabkan tragedi yang meragut nyawa seorang bayi malang.

Saksi Ceritakan Detik Cemas

Seorang saksi, Ridhwan Mohamad yang berada di lokasi, menceritakan suasana panik ketika kejadian. Menurutnya, orang awam bergegas membantu mangsa selepas kenderaan berat itu merempuh laluan tol sehingga menyebabkan beberapa mangsa tersepit dan cedera.

Reaksi Netizen Penuh Empati

Rakaman saksi yang dikongsi di TikTok menarik perhatian netizen yang membanjiri ruang komen dengan doa serta ucapan takziah.

“Terima kasih tuan. Alhamdulillah Husyan sudah selamat dimandikan dan dikafankan, Insya-Allah esok akan disemadikan di Kajang. Semoga urusan keluarga dipermudahkan dan diberi ketabahan menghadapi dugaan ini,” tulis seorang pengguna.

Ada juga yang menitipkan doa buat saksi, memuji keberanian beliau berkongsi pengalaman di lokasi kejadian: “Tak semua orang mampu galas tanggungjawab tu. Semoga encik diberi kekuatan dan ketenangan selepas apa yang dilalui.”

Tidak kurang juga yang mengulas punca kemalangan dengan mendakwa pemandu lori sempat melompat keluar selepas lori hilang kawalan.

Tragedi ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang kepentingan aspek keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat di laluan awam. Semoga roh bayi berkenaan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, manakala keluarga mangsa diberi kekuatan menempuh ujian berat ini. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Pelajar Cemerlang Terpaksa Berhenti Belajar, Kini Disambung Semula Dengan Tajaan Penuh MARA

KUALA LUMPUR – Kisah menyayat hati seorang anak muda, Aiman Afiq, mendapat

Tragedi RM50: Nyawa Abdul Hafiz Diragut Ketika Mencari Rezeki

KENINGAU – Kisah tragis menimpa seorang warga Pakistan, Abdul Hafiz, 30, wajar