JAKARTA SELATAN – Suasana di Mahkamah Negeri Jakarta Selatan hari ini penuh sesak apabila hakim membacakan keputusan terhadap personaliti sensasi, Nikita Mirzani, dalam kes pemerasan yang turut dikaitkan dengan tuduhan pengubahan wang haram (TPPU).
Dalam keputusan yang dinanti ramai itu, Nikita dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun serta denda sebanyak Rp1 bilion. Jika gagal membayar denda, hukuman itu akan diganti dengan tiga bulan penjara tambahan.
“Menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda Rp1,000,000,000, dengan ketetapan sekiranya denda tidak dibayar, maka digantikan dengan hukuman penjara tiga bulan,” ujar Ketua Hakim sewaktu membacakan keputusan.
Dakwaan Bermula Dari Ugutan Di TikTok
Kes ini bermula apabila Nikita didakwa melakukan ugutan dan pemerasan terhadap Reza Gladis, seorang usahawan produk kecantikan, selepas berlaku pertikaman lidah di media sosial.
Semuanya berpunca daripada video di akaun TikTok @dokterdetektif yang mengkritik produk Reza. Tidak lama kemudian, Nikita membalas melalui akaun @nikihuruhara dengan kenyataan yang dianggap mencemarkan nama baik dan berunsur ancaman.
Pendakwaan mendakwa Nikita meminta wang sebanyak Rp5 bilion untuk menghentikan sebaran negatif terhadap Reza di media sosial. Akibat tekanan dan ugutan tersebut, Reza akhirnya menyerahkan Rp4 bilion kepada Nikita.
Mahkamah: Ada Unsur Pemerasan, Tapi TPPU Tidak Terbukti
Dalam hujahnya, hakim menjelaskan bahawa perbuatan Nikita memberikan nombor akaun bank untuk menerima wang daripada Reza menunjukkan niat untuk memperoleh wang secara tidak sah.
Namun begitu, pertuduhan pengubahan wang haram (TPPU) terhadap Nikita tidak terbukti. Hakim menyatakan, meskipun wang itu digunakan bagi membayar rumah dan sebahagiannya diterima secara tunai oleh individu bernama Ismail, tiada unsur penyamaran asal-usul dana seperti yang ditetapkan undang-undang.
“Tindakan itu tidak memenuhi elemen layering, placement atau integration yang menjadi asas kepada kesalahan pengubahan wang haram,” jelas hakim dalam keputusan tersebut.
“Santai Saja, Masih Ada Langkah Hukum” – Nikita
Selesai prosiding, Nikita kelihatan tenang dan tersenyum sambil memeluk ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan. Kepada media, beliau berkata sudah menjangka keputusan itu dan akan meneruskan proses hukum seterusnya.
“Saya dah tahu pasti akan ditahan, jadi santai saja. Masih ada peluang untuk buat rayuan dan kasasi,” katanya.
Peguam bela Nikita turut memaklumkan akan berbincang dengan pasukan undang-undang bagi menentukan langkah seterusnya.
“Kami akan meneliti semula keputusan dan mempertimbangkan tindakan hukum yang sesuai,” ujar wakil peguamnya ringkas.
Populariti Bukan Tiket Kebal Undang-Undang
Kes Nikita Mirzani sekali lagi menjadi peringatan bahawa pengaruh dan populariti tidak menjadikan seseorang kebal daripada tindakan undang-undang. Apa jua status, setiap individu tertakluk kepada peraturan dan prinsip keadilan yang sama.
Dalam dunia yang semakin terbuka di media sosial, setiap kata dan tindakan boleh membawa akibat yang besar, bukan sahaja kepada imej, tetapi juga masa depan. Moga kes ini menjadi pengajaran buat semua agar lebih berhati-hati menggunakan platform digital dengan penuh tanggungjawab. – The Malaysian Update
