GEORGE TOWN – Penantian hampir dua hari seorang isteri berakhir apabila jasad suaminya yang dikhuatiri terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang akhirnya ditemui pagi ini.
Menurut laporan Malaysia Gazette, mangsa Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim, 25, ditemukan sekitar 9.50 pagi sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat.
Isterinya, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, ketika dihubungi media berkata:
“Dah jumpa… suami saya sudah ditemui,” ujarnya dalam nada sebak.
Luahan Reda Seorang Isteri Muda
Sejak Ahad lalu, Nurul Natasha berkongsi rasa hatinya mengenai kehilangan suaminya menerusi TikTok.
Dalam satu hantaran di akaun ‘mummylee’, beliau menyatakan dirinya reda namun berharap jasad suaminya timbul sekiranya benar takdir memisahkan mereka.
“Rindu saya ikhlas… tapi kalau awak dah pergi, timbullah jasad awak, sayang.
25 Februari lepas awak dapat cahaya mata kedua… tahun ini juga awak tinggalkan dia.
Selama tujuh bulan Allah pinjamkan awak untuk baby,” tulisnya.
Penemuan Yang Ditunggu-Tunggu
Pada Ahad, tular laporan mengenai seorang lelaki disyaki terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang arah pulau menuju tanah besar.
Sebelum hilang, mangsa dipercayai meninggalkan motosikal Yamaha Y16, telefon bimbit serta bungkusan pakaian di tepi tembok jambatan.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pihak berkuasa akhirnya membuahkan hasil pagi ini apabila jasad mangsa berhasil ditemui.
Punca kejadian masih dalam siasatan. Namun penemuan jasad mangsa sekurang-kurangnya memberi ruang kepada keluarga, terutama isteri serta dua anak kecil untuk menerima ketentuan ini dengan lebih tenang. – The Malaysian Update
