Thursday, September 11, 2025

Bapa Reda, Harap Anak Hilang di Parit Sanglang Segera Ditemui

September 7, 2025
1 min read

KUBANG PASU – “Saya harap anak saya ditemui segera dan dipermudahkan segala urusan pencariannya,” luah Masri Hassan, 43, bapa kepada Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, yang dikhuatiri lemas selepas mesin padi dinaiki bersama tiga rakannya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan SMK Sanglang, petang kelmarin.

Dua Rakan Selamat, Seorang Diselamatkan Bomba

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi diselamatkan pasukan bomba.

Mangsa Mahasiswa Polimas

Menurut laporan Harian Metro, Amsyar Muqri yang juga penuntut semester pertama Diploma Kejuruteraan Bangunan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra keluar bersama rakan sekampungnya sempena cuti hujung minggu dan Maulidur Rasul.

Masri berkata, anak sulung daripada dua beradik itu biasanya akan meluangkan masa bertemu rakan-rakan sekampung setiap hujung minggu.

“Saya hanya dimaklumkan supaya datang ke lokasi, bila sampai saya diberitahu anak saya hilang. Sebagai bapa, saya tak putus berdoa dan sanggup menunggu di sini sejak jam 3 petang tadi,” katanya yang juga pesara tentera.

Operasi SAR Ditangguhkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir empat jam sebelum ditangguhkan jam 7.10 malam.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman sehingga kedalaman empat meter namun belum menemui mangsa. Operasi akan disambung semula pagi esok (hari ini),” katanya.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Parit Baru Dicuci, Kini Sedalam Empat Meter

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh yang turut hadir memaklumkan kawasan itu dikenali sebagai Parit Sanglang, dan baru dicuci beberapa hari lalu.

“Disebabkan hujan, air parit kembali penuh sehingga kedalaman mencecah empat meter. Saya berharap mangsa segera ditemui,” katanya. – The Malaysian Update

HANGAT MINGGU INI

Toyota Alphard Disita JPJ, Ibu Luah Kesedihan Anak Menangis Depan Mata

KUALA LUMPUR – Seorang pengguna TikTok meluahkan rasa kecewa selepas kenderaan Toyota

Protes Anti-Rasuah Nepal: Menteri Kewangan Dikejar & Ditendang Penunjuk Perasaan

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam protes