Categories: Mahkamah

Saksi dedah Jho Low desak supaya tidak guna e-mel rasmi Ambank

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Seorang bekas pegawai bank yang mengendalikan akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho, atau Jho Low mendesak beliau supaya tidak menggunakan e-mel rasmi AmBank untuk menghantar draf surat arahan kepada pemegang mandat akaun bekas perdana menteri itu.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, memberitahu bahawa berdasarkan perbualan kumpulan melalui BlackBerry Messenger (BBM) antara beliau, Jho Low dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd dan pemegang mandat akaun Najib, Nik Faisal Ariff Kamil, meminta beliau menggunakan Google Mail (Gmail peribadi Yu) mengenai arahan pergerakan wang antara akaun.

Loading…

Saksi ke-54 pendakwaan memberitahu demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada hari ke-46 perbicaraan bekas perdana menteri itu terhadap penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Mesej pertama dalam perbualan kumpulan itu ialah Jho Low mengarahkan Nik menandatangani surat arahan yang anda akan e-mel kepadanya. Ia menyusul selepas anda menyebut bahawa akaun itu sekali lagi mencatatkan pengeluaran berlebihan.

Advertisement

Yu: Ya.

Harvinderjit: Jho Low kemudian menjawab “Sila teruskan”.

Yu: Saya tidak pasti sama ada mesej itu dimaksudkan untuk saya.

Harvinderjit: Jho Low kemudian menjawab “Sila gunakan Gmail, jangan gunakan e-mel AmBank dan e-mel kepada Nik Faisal” yang anda menjawab “Okey”.

Harvinderjit kemudian bertanya kepada Yu sama ada Jho Low mempunyai mandat untuk memberikan arahan lisan, dengan mengenepikan kedudukan Nik Faisal sebagai pemegang mandat yang boleh melakukan arahan bertulis, memandangkan Yu sentiasa mengambil arahan daripadanya.

Advertisement

Harvinderjit: Adakah ada surat mandat lisan dari Jho Low?

Yu: Tiada.

Harvinderjit: Adakah anda dibenarkan berurusan dengan pihak ketiga tidak sah yang bukan pemegang mandat akaun?

Yu: Tidak.

Harvinderjit: Adakah anda menyedari bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA)?

Advertisement

Yu: Ya.

Sambil membelek catatan perbualan BBM antara saksi dan Nik Faisal, Harvinderjit membuat andaian bahawa dia telah mengajar Nik Faisal mengenai apa yang harus ditulis kepada bank berhubung operasi mengenai akaun bank Najib.

Harvinderjit: Anda mengirim mesej kepada Nik Faisal tentang apa yang harus dijawab kepada dua lagi pengurus perhubungan, Krystle Yap dan Daniel Lee sebagai respon dan apa yang harus dikatakan?

Yu: Ya.

Perbualan itu termasuk pada suatu ketika apabila Yu mengajar Nik Faisal perkataan demi perkataan yang dia perlu e-mel kepada bank untuk memberitahu bahawa dana hanya tersedia pada hari berikutnya.

Advertisement

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. —Bernama

Malaysian Update

Leave a Comment

Recent Posts

Bintang TikTok terkenal Iraq, Umm Fahad mati ditembak depan rumah

BAGHDAD - Pihak berkuasa Iraq sedang menyiasat pembunuhan seorang bintang TikTok ternama negara itu yang… Read More

1 day ago

Ditutup sementara, KFC dibuka semula tanpa logo Kolonel Sanders

ALGIERS – Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) yang pertama di Algeria beroperasi semula selepas ditutup… Read More

2 days ago

Wanita tiba-tiba ketawa & menjerit, dipercayai dirasuk ketika majlis perkahwinannya

JAKARTA – Seorang pengantin perempuan berkelakuan aneh secara tiba-tiba dengan menjerit sambil ketawa pada majlis… Read More

3 days ago

Pemilik kereta tertekan hon kerana panik – polis

GEORGE TOWN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pemandu kereta susulan kekecohan ketika upacara pengebumian… Read More

4 days ago

Tragis! Wanita Maut, Terjatuh Ketika Berswafoto Di Gunung Berapi

Gara-gara mahu berswafoto bersama suami di puncak gunung, seorang wanita yang berasal dari China dilaporkan… Read More

4 days ago

Pengurus Syarikat Agensi Pelancongan Didakwa Cuba Bunuh Isteri, Sebabkan Kecederaan Pengawal Peribadi

Lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)… Read More

4 days ago