Connect with us

Berita Lain

HARIMAU MALAYSIA BAHAM SINGA


SHAH ALAM: Dendam yang terbuku selama lebih 18 tahun
akhirnya dilunaskan juga oleh barisan pemain Bawah 22 Tahun (B22) Malaysia
apabila bangkit untuk menundukkan Singapura dalam acara bola sepak Kumpulan A
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, pada Rabu.

Dua jaringan pemain gantian sudah cukup membuktikan
ketajaman ‘taring’ anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk menambah derita Singapura
yang sebelum ini tewas kepada Myanmar, Isnin lalu.

Kim Swee melakukan rombakan seramai enam pemain dengan hanya
mengekalkan Matthew Thomas Davies, Muhammad Adib Zainuddin, Muhammad Safawi
Rasid, Adam Nor Azlin dan Muhammad Irfan Zakaria. 
Ternyata percaturan Kim Swee menggandingkan Mohammad Syamer
Kutty Abba dan Muhamad Amirul Hisyam Awang Kechik kurang berkesan di bahagian
tengah yang tampak longgar dan lebih banyak dikuasai Singapura.

Perlawanan nampak seimbang pada 30 minit pertama tetapi
Malaysia lebih banyak melakukan percubaan berbahaya terutamanya menerusi Safawi
pada minit kesembilan apabila rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti
diselamatkan penjaga gol Singapura, Muhammad Zharfan Rohaizad.

Namun Singapura terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada
minit ke-33 apabila percubaan pemain tengahnya, Muhammad Amiruldin Muhammad
Nddin dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Muhammad Haziq Nadzli. 
Malaysia cuba mencari gol penyamaan sebelum tamat separuh
masa pertama tetapi sepakan percuma Safawi sekadar singgah di palang gol
Singapura.

Aksi kedua menyaksikan Malaysia mengasak sebaik wisel
dibunyikan selepas Kim Swee melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Nur
Azam Abdul Azih dan Thanabalan Nadarajah menggantikan Irfan dan Amirul Hisyam.

Kemasukan Nor Azam ternyata mengubah rentak permainan
Malaysia apabila menguasai kembali bahagian tengah sekali gus memudahkan skuad
negara menguasai hampir keseluruhan separuh masa kedua.Malaysia terpaksa
menunggu minit ke-68 untuk menyamakan kedudukan menerusi Nor Azam yang
melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan Zharfan.

Gol tersebut ternyata memberi suntikan semangat untuk anak
buah Kim Swee apabila menggandakan serangan bagi memburu gol kedua. 
Ternyata percaturan Kim Swee membawa masuk Thanabalan
membuahkan hasil apabila penyerang gantian itu menjaringkan gol kedua Malaysia
pada minit ke-74 hasil situasi kelam kabut di hadapan gol Singapura.

Keputusan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan tersebut melonjakkan Malaysia ke tangga teratas
Kumpulan A dengan mengumpul enam mata. 
Lebih manis lagi, Malaysia kini melebarkan jumlah kemenangan
kepada 31, seri sebanyak 21 kali dan tewas 21 kali berdasarkan rekod pertemuan
kedua-dua pasukan dalam semua peringkat perlawanan.

Bagi rekod pertemuan dalam temasya Sukan SEA, ini merupakan
pertemuan kesembilan antara Malaysia dan Singapura, dan kali terakhir kedua-dua
pasukan bertembung di peringkat kumpulan, Malaysia tewas 1-2 di Brunei pada 31
Julai 1999.

Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir
kejohanan tersebut selepas sekadar menduduki tangga ketiga.

Kedua-dua pasukan bertemu kembali pada Sukan SEA 2013 di
Myanmar untuk penentuan pingat gangsa, tetapi Malaysia tewas 1-2.

Malaysia akan berdepan Myanmar pada Isnin depan untuk mara
ke pusingan separuh akhir pada 26 Ogos nanti jika melakar kemenangan ketiga. – mstar online

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel