KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.
Hakim Azhar memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan kesalahan salah guna harta berjalan berasingan manakala hukuman pertuduhan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini namun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan itu difailkan di Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” kata hakim.
Sebelum ini, bekas Ketua Armada itu dibenarkan diikat jamin RM330,000 bagi kesemua pertuduhan serta diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran, sebulan sekali.
Semasa mensabitkan Syed Saddiq atas semua pertuduhan itu, Hakim Azhar berkata mahkamah telah memberikan pertimbangan pada tahap maksimum terhadap keseluruhan keterangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang setelah mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri yang memberi keterangan bersumpah dan empat saksi pembelaan.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, mewakili Syed Saddiq memohon agar mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
“Pihak kami memohon supaya mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI
Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video
Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI