Friday, December 05, 2025

Pemilik kereta tertekan hon kerana panik – polis

April 26, 2024
1 min read

GEORGE TOWN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pemandu kereta susulan kekecohan ketika upacara pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Masjid Jamek Sungai Nibong malam tadi seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan, 46, telah dilanggar oleh motosikal di bahagian kanan kereta ketika berada di jalan raya berhadapan masjid itu kira-kira 7.45 malam.

“Pada masa sama, pengadu (lelaki itu) mendapati ramai orang awam telah mengepung kereta dan pengadu telah tertekan hon kereta akibat berasa panik dengan keadaan semasa itu. Tiba-tiba kereta pengadu telah dikerumuni orang ramai dan kereta pengadu mengalami sedikit kerosakan.

“Bagaimanapun kekecohan berjaya dileraikan oleh anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) yang turut berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlam menjelaskan kejadian berlaku ketika upacara pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak Selasa lepas di masjid berkenaan dan pengadu mengaku tidak mengetahui mengenai upacara itu serta tidak sengaja tertekan hon kereta.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu hingga boleh menjejaskan siasatan polis selain mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

Satu rakaman video tular sejak semalam yang memaparkan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dilihat dikerumini orang ramai selepas dia didakwa membunyikan hon hingga berlaku kekecohan ketika upacara pengebumian berlangsung.

Muhammad Firdaus, 44, merupakan antara 10 tentera yang maut dalam tragedi nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak pada Selasa lepas dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar malam tadi.

— BERNAMA

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

HANGAT MINGGU INI

Kes Lemas Taman Prima Saujana: Adik Meninggal Dunia Di Hospital, Abang Masih Hilang – Polis

KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan

Ayah di Sibolga Tidak Berganjak dari Kawasan Tanah Runtuh Selama Tiga Hari Demi Mencari Puteri Tercinta

SUMATERA UTARA – Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Sibolga meninggalkan kesedihan