KIM SWEE: ‘BOLEH BERLAKU KEPADA SESIAPA, SAYA TAK SALAHKAN HAZIQ’

0
45

JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim
Swee enggan menyalahkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli yang menjaringkan gol
sendiri sehingga menghadiahkan kemenangan buat Thailand pada final di Stadium
Shah Alam, malam tadi.
Menurut Kim Swee, kesilapan penjaga gol berusia 20 tahun itu
yang tertumbuk bola ke gawang sendiri ketika mengeluarkan bola sepakan sudut
pada minit ke-39 boleh terjadi kepada mana-mana pemain, lapor Harian Metro.
“Ia situasi sukar buat Haziq, dan kesilapan itu boleh
berlaku ke atas mana-mana pemain. Kita tak boleh menyalahkan dia, dia masih
muda dan masih belajar lagi,” katanya dalam sidang media selepas
perlawanan itu.
Kekalahan itu seakan mengulangi tragedi 2001 di mana
Malaysia tewas dengan keputusan sama apabila kesilapan penjaga gol Kamaruzaman
Hassan menghadiahkan kemenangan buat skuad Gajah Perang di venue yang sama.
Malah kegagalan memenangi ibu segala emas itu meneruskan
penantian Malaysia selepas kali terakhir skuad kendalian Kim Swee muncul juara
di Jakarta 2011.
Menurut bekas pengendali kebangsaan itu, beliau berpuas hati
dengan prestasi pemain sepanjang kejohanan ini namun tetap melahirkan rasa
kecewa kerana gagal memenangi emas.
“Kita beri saingan hebat kepada Thailand, tapi kita
beri gol kepada mereka tidak kena pada masanya. Kita cuba bangkit tapi tetap
gagal mencari gol.
“Saya tak gembira kerana tak memenangi pingat emas tapi
secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain dengan masa terhad
yang kita lalui sebelum ini. Kita membuktikan bahawa kita mampu bersaing dengan
pasukan rantau ini,” kata Kim Swee.
Hujan yang turun sebaik permainan bermula seakan memberi
petanda malam suram buat penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Shah Alam
tanpa sorakan Ultras Malaya susulan memboikot isu penjualan tiket sebelum
perlawanan.
Meskipun Thailand memperlihatkan penguasaan pada babak
pertama namun mereka masih sukar untuk menembusi gawang pasukan tuan rumah
sehinggalah kesilapan Haziq ketika mengeluarkan bola sepakan sudut Sasalak
Haiprakhon.
Gol sendiri itu sudah cukup memalit derita buat anak buah
Kim Swee yang cuba bangkit pada separuh masa kedua namun sukar untuk menembusi
benteng Thailand.

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here