Penyanyi terkenal era 90an, To’ki cedera parah ditangan kirinya akibat ditikam dan diserang sekumpulan lelaki dipercayai dalam cubaan samun di Taman Daya, Kepong, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 8 malam semalam, To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, 54, ketika kejadian diserang 3 lelaki ketika dalam perjalanan pulang dari pusat beli-belah, Selayang Mall ke rumahnya di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Gombak, Selangor.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, tiga orang lelaki yang menaiki dua motosikal menyerang saya menggunakan pisau.
“Mereka mahu merampas barang yang berada dalam bakul motosikal saya. Walhal barang-barang tersebut hanyalah alatan untuk saya melukis,” kata To’ki, memetik portal Kosmo! Online.
To’ki yang pernah popular dengan lagu Biasan dan Seni Berzaman terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menyambung semula urat-urat tangannya yang terputus akibat serangan tersebut.
Menceritakan detik kejadian To’ki berkata, salah seorang lelaki terbabit secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menikam tangan kirinya.
“Saya terus rebah sebelum dibantu orang awam yang segera membawa saya ke HKL. Alhamdulillah, hari ini saya sedikit sihat selepas selesai menjalani pembedahan pada jam 10 pagi tadi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang meluangkan masa melawat penyanyi itu berkata, beliau mengambil berat kes berkenaan.
“Nasib dia (To’ki) tidak baik.
“Saya berharap keadaan tangannya akan pulih seperti biasa memandangkan bermain muzik adalah punca rezeki utamanya,”
“Pihak Karyawan akan memberi sokongan dan memantau keadaannya. Tambahan, To’ki perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas ini kerana tangannya digunakan untuk bermain gitar.
“Saya harap kerjaya seninya disambung. Sekiranya kita boleh bantu, kita akan laksanakan. Kita akan pantau dari segi pemulihan kesihatannya dan kerjayanya,” kata Freddie lagi.
Mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan, To’ki bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan lain yang lebih serius ketika disamun 3 lelaki terbabit.
“Alhamdulillah, keadaan saya stabil kerana tiada kecederaan lain selain tangan kiri. Bagaimanapun saya belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” ujar To’ki.