Connect with us

Terkini

Masih perlu dapatkan kelulusan Najib urusan berkaitan syarikat

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau masih perlu mendapatkan kelulusan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan urusan syarikat.

Ismee, 54, berkata sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, beliau masih perlu melapor kepada perdana menteri pada masa itu mengenai operasi syarikat.

Loading…

Beliau memberi keterangan demikian selepas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib membacakan minit mesyuarat antara Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan Najib bertarikh 7 September 2011, yang menyatakan bahawa tiada apa pun yang mencadangkan beliau (Ismee) agar mendapatkan kelulusan Najib.

Harvinderjit: Kesemua minit mesyuarat itu memperkatakan mengenai laporan fungsian kepada perdana menteri (Najib). Tiada apa-apa dalam ID499 (minit mesyuarat) yang mencadangkan kamu perlu mendapatkan kelulusan daripada perdana menteri?

Advertisement

Ismee: Ia (minit mesyuarat) merujuk kepada “melapor kepada saya (Najib) “. Apa pun kamu perlu mendapat kelulusan beliau.

Harvinderjit: Ya, tetapi ia bermakna melaporkan apa yang telah dilakukan, bukan untuk mendapatkan kelulusan beliau.

Ismee: Lalu, laporan fungsian apa maknanya?

Harvinderjit: Kamu tanya saya? Pertanyaan itu menyebabkan hadirin dalam mahkamah ketawa.

Ismee: Apabila kamu katakan melapor kepada perdana menteri, maka apa maksudnya. Ia bermaksud kamu perlu mendapatkan persetujuannya.

Advertisement

Harvinderjit: Itu pesepsi kamu?

Ismee: Ya.

Kepada cadangan peguam, Ismee bersetuju bahawa Lembaga Pengarah SRC perlu mendapat kelulusan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengenai operasi SRC memandangkan 1MDB adalah pemegang saham tunggal SRC pada 2011.

Hari ini adalah hari kedua Ismee diperiksa balas oleh Harvinderjit mengenai operasi SRC, minit mesyuarat, selain peranan Najib dalam SRC.

Pada akhir prosiding, Harvinderjit secara berjenaka mengingatkan Ismee agar tidak membincangkan kes itu dengan orang lain kerana beliau masih perlu menyambung keterangannya esok.

Advertisement

“Boleh tak saya bercakap dengan isteri saya?” tanya Ismee yang mengundang ketawa hadirin di galeri awam.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjawab, “Boleh, tapi bukan mengenai kes ini”.

Seorang saksi yang masih di bawah sumpah dilarang untuk membincangkan kesnya dengan orang lain.

Najib, 66, dituduh dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan mengubah wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok. -Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel