NGO buat laporan polis isu kenyataan ‘wajib’ jatuhkan PH

0
117

KUALA LUMPUR – Sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini bertindak membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan, Pahang pada minggu lalu.

Wakilnya, Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tindakan Pas yang secara terbuka menyatakan pendiriannya wajib menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dilihat sebagai unsur provokasi dan menggunakan hukum agama untuk kepentingan politik semata-mata.


Loading…

“Ucapan beliau (Nik Muhamad Zawawi) berunsur provokasi dan boleh disalahfaham oleh umat Islam terutama pengikut Pas.., akhirnya ia boleh mencetuskan kacau bilau terutama pada umat Islam di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada kira-kira ajm 12.30 tengah hari, di sini hari ini.

“Kami menggesa pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara terperinci dan tanpa prejudis menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap ucapan itu,” tambahnya.

Beliau turut menyelar ucapan Nik Zawawi yang menurutnya sewenang-wenangnya mengeluarkan ‘fatwa’ hukum demi kepentingan politik sehingga mengetepikan agensi yang dipertanggungjawab mengeluarkan fatwa.

“Tidak kira parti politik apa, teruskan berpolitik tetapi secara yang betul, bukan gunakan agama sebagai alat politik. Jangan gunakan hukum hakam agama untuk kepentingan politik kerana amalan ini akan merosakkan negara,” katanya.

Presiden Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) Mustapa Mansor yang hadir sama turut menegaskan pihaknya akan terus memerangi penyebar fitnah dan provokasi menerusi kerjasama rapat bersama agensi kerajaan berkaitan seperti SKMM, polis dan Kementerian Dalam Negeri. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...