Kenalan rapat Najib pulangkan RM3.68 juta 1MDB kepada k’jaan

0
1705

Ahli Perniagaan Sarawak, Tan Sri Bustari Yusof, yang digambarkan sebagai kenalan rapat bekas perdana menteri Najib Razak telah memulangkan wang berjumlah RM3,683,117.94 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.


Loading…

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada prosiding sebutan permohonan melucut hak harta itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah di Kuala Lumpur, hari ini.

Allan berkata pihak SPRM telah menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 juta daripada pihak Bustari semalam.

“Sehubungan itu, pendakwa raya selaku pemohon telah menarik balik permohonan lucut hak terhadap Bustari selaku responden.

“Pihak pendakwaan turut diberikan arahan untuk menyahbekukan akaun Bustari,” katanya.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Bustari mengesahkan bahawa cek itu telah diserahkan kepada pihak SPRM semalam.

“Terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana telah menarik balik permohonan lucut hak. Mohon permohonan lucut hak itu dibatalkan,” katanya yang turut dibantu oleh peguam Tiara Katrina Fuad.

Hakim Sequerah kemudiannya membatalkan permohonan lucut hak berkenaan dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana berjaya mencapai penyelesaian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya baru-baru ini dilaporkan berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...