Empat lelaki didakwa serang Syed Saddiq

0
2114

Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini atas tuduhan menyerang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bulan lepas.

Keempat-empat tertuduh, Norhanizam Ithnain, 38, Mohd Iskandar Masindra Rasidi, 37, Mohd Iskandar Afiq Razak, 26, dan Ezzul Emran Abdul Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Kekal berhubung bersama rakan-rakan dan juga ahli keluarga serta tambah kenalan baru. Hanya di Frenzscape.com ianya percuma!

Norhanizam difahamkan merupakan seorang pengimpal di sebuah bengkel, Mohd Iskandar Masindra dan Ezzul Emran masing-masing merupakan peniaga manakala Mohd Iskandar Afiq pekerja kedai serbaneka.


Loading…

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyerang Syed Saddiq dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan menteri itu di tapak perkhemahan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram di sini pada 9.30 malam, 31 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faizal Noorhadi mencadangkan wang jaminan RM15,000 kepada setiap tertuduh mengambil kira kejadian tersebut membabitkan seorang menteri yang juga wakil rakyat.

Bagaimanapun peguam Izzat Muhtar yang mewakili semua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan kesemua anak guamnya memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan.

Mohd Zaki membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Chan Choon Yew manakala prosiding turut dihadiri peguam pemerhati daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Shufri Samad.

Pada 31 Jan lepas, Syed Saddiq yang juga ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mendakwa sekumpulan lelaki telah bertindak menyerang beliau ketika menghadiri Majlis Rapat Umum Armada Johor di Ulu Tiram.

– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...