Tun Mahathir tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong

0
5014

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Loading…

Dr Mahathir yang menaiki kereta Proton Perdana dengan diiringi kenderaan pengiring dilihat memasuki pekarangan Istana Negara melalui pintu utama jam 10.55 pagi.

Menurut Harian Metro, Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai bagi membincangkan mengenai jawatan Perdana Menteri ke-8 selepas beliau meletakkan jawatan pada Isnin lalu.

Ini kerana nama beliau antara disebut untuk terus menyandang kerusi pemimpin nombor satu politik itu.

Semalam, Dr Mahathir melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Sebelum itu, seramai 221 Ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik mempersembah nama calon Perdana Menteri untuk dipertimbang Yang di-Pertuan Agong pada semalam dan kelmarin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN), PBRS dan PAS berpendirian supaya Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini.

Pakatan Harapan (PH) pula memutuskan menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh Dr Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan negara.

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...