“Saya ambil wang tunai RM1,013,200 daripada Ku Nan untuk PRK Sungai Besar”- Saksi

 262 total views,  1 views today

Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini, beliau telah mengambil wang tunai berjumlah RM1,013,200 daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu di kediamannya di Jalan Duta untuk kegunaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016.

Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, 42, yang kini usahawan berkata duit itu kemudiannya telah diserahkan kepada Pengarah Jentera PRK Sungai Besar ketika itu, Datuk Rizalman Mokhtar di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Loading…

“Lebih kurang dua atau tiga hari selepas mesyuarat dengan Rizalman di PWTC (berhubung bajet dan strategi PRK Sungai Besar), saya sendiri mengambil wang berjumlah RM1,013,200 secara tunai daripada Datuk Seri Tengku Adnan di kediamannya dan sumbangan kewangan untuk PRK itu adalah daripadanya (Tengku Adnan) secara peribadi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan pada prosiding membela diri Tengku Adnan terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2 juta.

Mohd Rafi, ketika membacakan penyataan saksinya berkata Tengku Adnan tidak pernah bergantung kepada dana politik daripada Ibu Pejabat UMNO dan sekiranya UMNO Wilayah Persekutuan memerlukan dana politik, ahli Parlimen Putrajaya itu secara peribadi memberi wang sendiri atau daripada derma politik.

Berkenaan PRK Sungai Besar, saksi kedua pihak pembelaan itu berkata, Tengku Adnan telah melantik Rizalman sebagai pengarah Jentera PRK Sungai Besar lebih kurang seminggu sebelum hari penamaan calon PRK tersebut.

Mohd Rafi, yang berkhidmat sebagai setiausaha politik Tengku Adnan dari Januari 2014 sehingga 8 Mei 2018 berkata pada mulanya bajet yang dicadangkan untuk PRK itu berjumlah RM1.3 juta, namun selepas mesyuarat yang beliau hadiri dengan Tengku Adnan dan Rizalman, jumlah berkenaan dikurangkan ke RM1,013,200.

Sementara itu, Rizalman, 48, memberitahu mahkamah bahawa telah menjadi amalan politik parti UMNO untuk tidak menyimpan resit perbelanjaan bagi PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya tiada perkara berbangkit selepas sebulan berlangsungnya pilihan raya berkenaan.

“Setiap perbelanjaan resit (PRK dan PRU) disimpan dan dicatat tetapi ia (resit) tidak disimpan dalam tempoh yang panjang, yang sekiranya tiada perkara berbangkit selepas sebulan (PRK dan PRU), kita akan lupuskan resit tersebut,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Tan.

Ditanya Tan adakah wang perbelanjaan bagi PRK Sungai Besar berjumlah RM1,013,200 habis digunakan, Rizalman, yang merupakan saksi ketiga pihak pembelaan menjawab, “habis digunakan”.

Sebelum itu, semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mengenai senarai asal perbelanjaan PRK itu, Rizalman yang juga Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak berkata ia tidak boleh disahkan, tetapi wang yang diterima adalah berjumlah RM1,013,200.

Terdahulu, semasa membaca penyataan saksi, usahawan itu berkata Tengku Adnan melantiknya sebagai pengarah Jentera PRK Sungai Besar antara lain bagi menjaga Pusat Daerah Mengundi dan memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya tersebut.

“Saya telah menyediakan bajet sebanyak RM1.3 juta bagi PRK di Sungai Besar dan saya berbincang bajet tersebut dengan Datuk Mohd Rafi. Selepas itu, saya menyerahkan bajet tersebut kepada Datuk Mohd Rafi yang kemudiannya telah mengadakan suatu mesyuarat dengan Datuk Seri (Tengku Adnan) untuk berbincang tentang bajet dan strategi-strategi lain di Pejabat Setiausaha Agung UMNO.

“Di mesyuarat itu, Datuk Seri telah mengurangkan bajet ke RM1,013,200. Kira-kira dua atau tiga hari kemudian, saya menerima jumlah wang tunai tersebut daripada Datuk Mohd Rafi di Ibu Pejabat UMNO, PWTC,” katanya yang turut memaklumkan wang itu dibelanjakan antaranya untuk menyewa rumah, elaun harian dan perjalanan, logistik, makanan dan minuman serta bahan-bahan kempen.

Tengku Adnan, 69, yang lebih dikenali sebagai “Ku Nan” selesai memberi keterangan bela diri pada 5 Mac lepas, selepas memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Jan.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– Bernama