Tiada Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah ‘dipegang’ tauke judi – KPN

 102 total views,  1 views today

OTiada Ketua Polis Daerah atau Ketua Polis Negeri ‘dipegang’ oleh tauke judi bagi mengatur perpindahan dan penempatan mana-mana pegawai dan anggota polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau sekeras-kerasnya menafikan perkara berkenaan malah menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dan mengamalkan sifar toleransi terhadap kegiatan perjudian.



“Saya sering mengingatkan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada semua peringkat pengarah jabatan PDRM sehingga ke peringkat Ketua Polis Daeah agar tidak sesekali terlibat dengan mana-mana kegiatan atau sindiket perjudian.

“Dakwaan pengaruh sindiket ini hingga boleh mengaturkan pegawai-pegawai tertentu untuk menduduki sesuatu jawatan itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata perkara melibatkan perpindahan penempatan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan bersama Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah) dan 10 pengarah jabatan PDRM.

“Ini termasuklah dalam menentukan kedudukan mana-mana pegawai dan anggota polis setelah diadakan perdebatan, perbincangan dan komen termasuk penilaian oleh satu jawatankuasa dari Jabatan Pengurusan yang menilai kesesuaian dan potensi seseorang dinaikkan pangkat atau diletakkan ke satu-satu jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut memberikan arahan agar kes fail dibuat untuk diambil tindakan dibawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap mana-mana sindiket perjudian yang dikenal pasti kerap menganjurkan kegiatan perjudian haram.

Beliau berkata agenda baik PDRM telah dirosakkan oleh sindiket-sindiket ini akibat daripada kegiatan perjudian haram mereka, meskipun amaran telah diberikan berulang-kali.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk melengkapkan kes-kes fail ke atas mereka untuk diambil tindakan dibawah POCA.

“Saya dah berikan amaran secukupnya. Sedangkan warga PDRM sendiri saya ambil tindakan dibawah POCA apatah lagi sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata banyak masalah telah ditimbulkan oleh sindiket perjudian ini sehinggakan mampu meruntuhkan rumah tangga seseorang.

“Ada laporan yang diterima sampai peti ais pun digadaikan oleh seorang kaki judi. Isteri telah pun menegah perbuatannya itu namun tidak dipeduli malah dipukulnya.

“Jijiknya judi ini, saya tidak boleh terima sekiranya terdapat pegawai-pegawai saya yang berkomplot dengan tauke-tauke judi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang tangkapan terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam kegiatan perjudian setakat ini.

Abdul Hamid berkata beberapa pegawai dan anggota PDRM yang ditahan antaranya terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

“Daripada segi judi, belum ada ditahan tetapi daripada segi kegiatan lain, ada (ditahan) kerana menyalahgunakan kuasa. Bagi yang didapati berkompromi dengan ‘tauke-tauke dadah’ sudah mula diambil tindakan.

“Ada beberapa orang diambil tindakan. Bagi perjudian pula, sebagaimana yang dikatakan tadi, PDRM akan ambil tindakan dibawah POCA,” katanya.

— BERNAMA