Connect with us

Mahkamah

SPRM Tiada Hak Jalankan Siasatan Di Rumah Rosmah – Peguam

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ada hak untuk menjalankan siasatan di rumah Datin Seri Rosmah Mansor di Langgak Duta dua tahun lepas kerana laporan yang dijadikan asas siasatan adalah terhadap individu lain.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata demikian ketika menyoal balas pegawai penyiasat SPRM Noornabilah Mohd Azman, 30, berhubung notis memeriksa, menggeledah dan menyita yang digunakan agensi berkenaan ketika menjalankan siasatan di rumah isteri bekas perdana menteri itu pada 2 Nov 2018.



Rosmah, 69, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Akberdin sebelum itu membangkitkan tentang nombor laporan yang tertera dalam notis perintah memeriksa, menggeledah dan menyita tersebut yang merujuk kepada siasatan terhadap individu lain, bukan siasatan terhadap Rosmah.

Advertisement

Saksi ke-23 yang juga saksi terakhir pendakwaan itu kemudian menjawab nombor laporan tersebut merujuk kepada siasatan yang dibuat ke atas Saidi.

Akberdin: Kenapa gunakan nombor laporan dia (Saidi) untuk buat pemeriksaan di rumah Datin Seri Rosmah?

Noornabilah: Ketika itu kami merujuk kepada keterangan Saidi yang menyatakan dia (Saidi) ada beri rasuah.


Akberdin: Saya cadangkan notis ini cacat sebab tidak merujuk kepada siasatan terhadap suspek. Bagaimana kamu boleh pergi ke rumah Rosmah guna report terhadap Saidi? Kamu tiada hak untuk ke rumah Rosmah kerana nombor aduan (pada notis) tidak merujuk kepada beliau (Rosmah) dan beliau (Rosmah) bukan suspek.

Noornabilah: Tidak setuju.

Advertisement

Peguam itu turut merujuk saksi kepada akuan terima notis tersebut yang tertera penama Zefry Ibrahim, yang mana Noornabilah bersetuju dengan peguam berkenaan bahawa notis perintah memeriksa, menggeledah dan menyita perlu dirujuk kepada suspek, bukan orang lain.

Akberdin: Saya cadangkan sekali lagi kamu tidak boleh masuk ke rumah Rosmah sebab Zefry bukan orang yang disiasat dan SPRM tidak ada kuasa masuk ke rumah sebab tidak dapat mandat daripada suspek berkenaan.

Noornabilah: Tidak setuju.

Akberdin turut mendakwa anak guamnya menjadi mangsa pendakwaan terpilih dan berniat jahat kerana individu lain seperti bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Umno Bahagian Pekan Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib yang turut disiasat berhubung kes solar hibrid itu tidak dituduh di mahkamah.

Sementara bekas pembantu khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, menurut Akberdin, yang sebelum ini menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5.5 juta bagi dirinya sendiri serta Rosmah berhubung projek solar itu dibebaskan selepas pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadapnya.

Advertisement

Akberdin: Mahdzir tidak dituduh sebab sasaran utama pihak pendakwaan ialah beliau (Rosmah), kami tidak nampak Rizal, Saidi dan Aazmey (hadapi pertuduhan).

Noornabilah: Betul.

Akberdin: Kalau tuduh Mahdzir (dan yang lain) matlamat untuk dapatkan sabitan terhadap Rosmah tidak boleh dicapai.

Noornabilah: Tidak setuju.

Akberdin: Ini satu lagi agenda atau niat jahat pihak tertentu untuk menjejaskan imej dan nama baik Rosmah sebagai bekas wanita pertama dengan tidak menuduh Mahdzir (dan yang lain).

Advertisement

Noornabilah: Saya tidak setuju.

Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dan mahkamah turut menetapkan 20 Okt ini untuk memanggil semula Mahdzir yang juga saksi kelima pendakwaan untuk disoal balas pihak pembelaan.

– Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel