Warga Bangladesh Didenda RM10,000 Rasuah Pegawai Imigresen

 380 total views,  2 views today

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM8,500 kepada pegawai Imigresen sebagai upah membantu melepaskan lapan rakyat senegaranya pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang, bulan lepas.

Hakim Azura Alwi memerintahkan Ahmmed Md Rana, 37, menjalani hukuman penjara 12 bulan, sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.



Azura turut menasihati tertuduh supaya menghormati undang-undang negara ini dan tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang dalam mencari rezeki di negara ini.

”Kamu sudah cukup baik dan beruntung kerana ada pertuduhan pilihan. Saya berharap kamu ambil peluang ini dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama serta mengubah diri ke arah lebih baik,” katanya selepas menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang sebelum ini ditahan dalam Op Selat.

Mengikut pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa Bangladesh, Ahmmed didakwa memberi suapan berjumlah RM8,500 kepada pegawai imigresen di Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sebagai upah untuk melepaskan lapan warga Bangladesh pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta berhadapan restoran di Jalan P8G1, Presint 8, Putrajaya antara 6.10  hingga 6.15 petang, 16 Nov lepas, mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata mahkamah perlu mempertimbangkan faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kerana kes ini melibatkan jenayah persempadanan dan kedaulatan negara.

“Tindakan tertuduh sebagai warga asing telah memperjudikan keselamatan negara dan tidak menghormati undang-undang negara walaupun dia telah tinggal di negara ini lebih 10 tahun,” katanya sambil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh agar warga asing lain tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, bapa dua anak itu yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda yang ringan atas alasan dia menanggung keluarga di Bangladesh serta mempunyai penyakit darah tinggi.

”Saya tidak tahu memberi rasuah adalah satu kesalahan, sekarang baru saya tahu ia satu kesalahan. Saya berjanji tidak akan mengulanginya. Jika saya tahu ada kawan-kawan saya  buat (rasuah) saya akan memaklumkan kepada pihak SPRM,” katanya yang bekerja di kedai menjual sayur.


Jumaat lepas, Ahmmed didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan sama namun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak faham pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Media pada 28 Nov lalu, melaporkan seramai 65 orang terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, 17 ejen dan sembilan orang awam ditahan berkaitan Op Selat, yang digerakkan SPRM dengan kerjasama jabatan itu bagi membanteras sindiket rasuah dalam pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.

— BERNAMA