Connect with us

Terkini

Banjir Di Pahang, Terengganu Dan Kelantan Tambah Buruk

Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan, manakala keadaan bertambah baik di Perak, Selangor dan Johor dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di PAHANG, situasi bertambah buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan di 241 PPS mencatatkan angka 18,976 orang daripada 5,032 keluarga setakat pukul 7.30 pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).



Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Bentong pulih apabila PPS di kawasan itu telah ditutup petang semalam.

Advertisement

Portal itu turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran sudah melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua laluan di Km113 dan Km115 ditutup susulan kenaikan air.

Laluan di Km84.6 – Km84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), LPT1 hala Kuantan juga masih ditutup kepada lalu lintas, bagaimanapun laluan antara Lanchang menghala Kuala Lumpur telah dibuka pada 9 pagi semalam.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini berbanding 117 orang pada 3 petang semalam berikutan pembukaan semula dua PPS di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.

Di KELANTAN, Tanah Merah menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan dengan lapan PPS diaktifkan bagi menempatkan 125 mangsa daripada 33 keluarga setakat 8 pagi.

Advertisement

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum ini Gua Musang turut terjejas dengan banjir, namun telah pulih dengan kesemua PPS di jajahan itu ditutup semalam.

Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi tadi, tiga sungai utama di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.62 meter (bahaya 25.00m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 16.11 meter (bahaya 16.00 m) dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 24.23 meter (bahaya 23.50 m).

Di PERAK, sejumlah 520 mangsa banjir daripada 152 keluarga dari tiga daerah masih ditempatkan di PPS setakat jam 7 pagi ini dengan Hilir Perak menempatkan mangsa paling ramai iaitu 484 orang, diikuti Kampar (32), dan Muallim (empat).

Berdasarkan infobanjir.water.gov.my, Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar mencecah paras amaran iaitu 54.93 meter manakala Sungai Perak di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah berada pada paras berjaga-jaga iaitu 6.62 meter pagi ini.

Banjir di SELANGOR pula semakin pulih apabila hanya dua PPS masih beroperasi dengan menempatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga setakat 6 pagi.

Advertisement

Di JOHOR, keadaan banjir mula menunjukkan tanda pulih apabila jumlah mangsa terlibat menurun kepada 3,566 orang daripada 903 keluarga setakat pukul 8 pagi berbanding 4,116 orang daripada 1,036 keluarga pada 8 malam tadi.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan dalam kenyataannya berkata di Kota Tinggi – yang merupakan daerah terjejas teruk sebelum ini – terdapat 17 PPS masih beroperasi dengan menempatkan seramai 2,122 mangsa daripada 533 keluarga.

Di Kluang pula terdapat 919 mangsa daripada 223 keluarga, Mersing (292 mangsa daripada 77 keluarga), Segamat (90 mangsa daripada 24 keluarga), Johor Bahru (72 mangsa daripada 24 keluarga) dan Batu Pahat (71 mangsa daripada 22 keluarga).

Katanya laluan yang masih ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi; Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru; serta kawasan stesen minyak Nitar 2 dan simpang tiga Kahang ke Kluang di Jalan Nitar Utama-Kluang, Mersing.

Sehingga kini, angka korban akibat banjir di negeri itu kekal seramai tiga orang.

Advertisement

– Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel