Dakwa 8 Tahun Kerja Tak Pernah Dibayar Gaji, Terpaksa Cari ‘Makanan’ Dalam Tong Sampah

 1,734 total views,  1 views today

Kejam dan tidak berperikemanusiaan! Itu kata-kata yang paling tepat menggambarkan tindakan seorang majikan yang bertindak kejam terhadap pembantu rumahnya.

Kisahnya bermula, apabila seorang wanita dikenali sebagai Pariyem, 44, yang menjadi mangsa kepada majikannya yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian tersebut berlaku di Surabaya, Indonesia.

Menerusi laporan yang dipetik daripada Kompas, wanita itu menjelaskan selama dia bekerja di situ, dia sama sekali tidak pernah mendapat gaji selama lapan tahun berkhidmat dengan majikannya.

Bukan itu sahaja, dia tidak mengetahui gaji yang sepatutnya diterima bagi setiap bulan kerana tidak ada sebarang perjanjian hitam putih antara mereka berdua.



Tidak berakhir di situ, dia juga turut mendakwa majikannya berlaku kejam kepadanya dengan tidak diberi makan dan sering dikasari termasuk dipukul.

Susulan daripada itu, dia pernah terpaksa terjun dari tingkat dua sebuah rumah demi mencari makanan akibat menanggung kelaparan yang begitu lama.

“Saya dikasari majikan dan sering dipukul di kepala dengan kasut serta selipar.”

Lagi menyayat hati, apabila Pariyem terpaksa mencari sisa makanan di tong sampah yang lazimnya menjadi tempat haiwan perosak bagi mengalas perutnya.

Segala rahsia yang disimpan oleh Pariyem akhirnya terbongkar apabila penduduk setempat melihatnya di tong sampah bagi mencari makanan. Susulan daripada itu, penduduk yang prihatin bertanyakan sebab mengapa dia berbuat demikian. Tidak berakhir di situ, dia juga turut dibawa ke balai polis bagi membuat laporan susulan apa yang telah terjadi kepadanya.

“Dia melompat (dari tingkat dua sebuah rumah) kerana mahu mencari makanan. Mangsa kemudian dibantu penduduk selepas menceritakan kisahnya yang tidak dibayar gaji dan dipukul majikan.”

Walau bagaimanapun, majikan kepada Pariyem menafikan segala tuduhan yang dibuat kepadanya. Jelasnya lagi, segala keperluan Pariyem dijaga dengan sebaik mungkin.

“Itu tidak benar, semua keperluan dia kami bagi termasuk makan tiga kali sehari. Kalau ada makanan, kuih contohnya pasti kami akan bagi.”

Sehingga kini, pihak polis masih menyiasat kes ini bagi mendapatkan keadilan bagi kedua-dua pihak.

Sumber: Kompas