Connect with us

Mahkamah

“Saya Marah Kerana Diperdaya” – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpurbahawa beliau berasa marah kerana diperdaya berkaitan surat sokongan supaya kontrak kerja operasi dan penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memerlukan kelulusannya diberi kepada syarikat milik Datuk Peter Anthony.

Bekas perdana menteri itu, yang pertama kali memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, berkata Tun Zaki Azmi yang ketika itu pengerusi Lembaga Pengarah UMS memaklumkan kepada beliau bahawa pihak UMS tidak pernah mengeluarkan surat atau memberi sebarang sokongan serta persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kerja tersebut kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd semasa perjumpaan di parlimen.

“Saya berasa marah pada masa itu kerana merasakan diri saya telah diperdayakan kerana kandungan surat yang disampaikan kepada saya adalah bertentangan dengan hasrat sebenar pihak universiti,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari kelapan perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem M&E.



Najib, 67, yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata surat bertarikh 9 Jun 2014 diterima daripada UMS.

Advertisement

“Surat itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS ketika itu Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang bagi pihak Naib Canselor berhubung Kerja-Kerja Operasi dan Penyelenggaraan Sistem M&E di Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra di Kampus Induk (FPL/Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) dan Bangunan Lain Universiti Malaysia Sabah – Selama Lima Tahun,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata surat tersebut turut menyatakan bahawa pihak universiti tidak mempunyai halangan untuk menyokong penuh kerjasama antara ULink Property Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UMS, dan Asli Jati bagi melaksanakan kerja-kerja kontrak berkenaan.

“Pihak universiti turut memohon kepada saya agar dapat memberi kelulusan terhadap perkongsian pintar ini,” katanya.

Najib berkata beliau juga dimaklumkan oleh Zaki bahawa pihak UMS sebenarnya telah melantik syarikat REMT Utama Sdn Bhd untuk kerja operasi dan penyelenggaraan sistem M&E di universiti itu secara tender terbuka yang dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah universiti.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada beliau berasa curiga apabila melihat tandatangan Timbalan Naib Canselor (Dr Shariff) dalam surat sokongan tersebut, saksi itu berkata “Tidak sama sekali.”

Advertisement

Bagaimanapun, Najib berkata sekiranya beliau mengetahui surat sokongan itu tidak mendapat kebenaran daripada Naib Canselor UMS ketika itu Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, beliau tidak akan ‘melayan’ surat tersebut kerana ia bukan kebenaran rasmi daripada UMS.

Wan Shaharudin turut menyoal sama ada Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu cuai kerana memberi kelulusan berhubung kontrak kerja kepada Peter dan beliau menjawab “Tidak, saya terima permohonan itu dengan niat baik.”

Wan Shaharuddin: Di dalam kes ini, adakah Datuk Seri Najib ada membetulkan kesilapan (berhubung kelulusan surat sokongan)?

Najib: Ya, saya ada betulkan sebab itu saya membatalkan keputusan asal (meluluskan projek) dan menyokong keputusan Ahli Lembaga Pengarah UMS.

Wan Shaharudin: Jika tidak terima info atau nasihat daripada Tun Zaki, adakah Datuk Seri Najib akan buat pembetulan?

Advertisement

Najib: Jika saya tidak terima nasihat atau maklumat daripada Tun Zaki, saya tidak ada maklumat bahawa penipuan telah berlaku.

Wan Shaharuddin: Apa yang membuatkan Datuk Seri Najib datang ke mahkamah hari ini dan memberi keterangan?

Najib: Saya tidak suka apa-apa perkara dibuat oleh mana-mana pihak dalam bentuk penipuan. Ini kerana saya nak menjaga reputasi saya dan kerajaan serta dalam kes ini, pihak UMS.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, 64, yang juga saksi pendakwaan ke-13 berkata beliau tidak terlibat dalam mana-mana proses penilaian, sokongan mahupun kelulusan bagi projek tersebut.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Advertisement

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Julai ini.

– Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel