Connect with us

Politik

Polis Siasat Laporan Mengenai Kenyataan Takiyuddin

Published

on

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) — Polis menyiasat laporan yang dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tanpa menyatakan akta siasatan tersebut dijalankan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata setiap aduan dan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan teliti tanpa mengira darjat.

Menurut laporan media, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur semalam bagi meminta polis menyiasat kenyataan Takiyuddin yang didakwa memperlekeh pandangan Seri Paduka supaya menyegerakan sidang Parlimen.

Pada Rabu, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Susulan itu, Takiyuddin dilaporkan berkata pandangan Seri Paduka berhubung persidangan Parlimen itu tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

“Biarlah polis dapatkan maklumat dahulu mengenai laporan itu dan kita tidak boleh terus kata (laporan itu) di bawah seksyen apa. Polis perlu tahu apa kesalahan dilakukan,” kata Hamzah pada sidang media rangkuman operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh, di sini hari ini.

Ditanya sama ada Takiyuddin akan dipanggil polis, Hamzah berkata sesiapa yang terdapat dalam laporan polis akan dipanggil dan disiasat.

“Sesiapa sahaja dalam laporan polis kita akan buat siasatan. Kita tiada darjat mengenai itu,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel

Trending