Connect with us

Politik

MIC Sedia Teruskan Pemilihan Parti, Tunggu Kebenaran Kerajaan

MIC bersedia untuk mengadakan pemilihan parti bagi tempoh 2021-2024 pada tahun ini setelah kerajaan membenarkannya ketika negara berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha Agung MIC Datuk M Asojan berkata malah, parti kaum India itu telah pun menjalani sebahagian daripada proses pemilihan termasuk pemilihan peringkat cawangan dan presiden parti setakat ini.

“MIC hanya tunggu kebenaran kerajaan memandangkan sekarang tidak boleh laksanakan sebarang pemilihan parti.

“Pemilihan peringkat cawangan telah diadakan dari 5 April hingga 5 Mei lepas manakala penamaan calon presiden telah berlangsung pada 26 Mei lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Advertisement

Tan Sri SA Vigneswaran mempertahankan jawatannya selaku Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu bagi penggal 2021-2024 tanpa bertanding pada pemilihan parti pada 26 Mei lepas.

Asojan berkata pemilihan peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan termasuk jawatan tertinggi seperti timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan dipertandingkan selepas ini.

Beliau memberi jaminan bahawa proses pemilihan akan dijalankan dengan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ia dijalankan ketika sebarang fasa PPN.

Keputusan untuk meneruskan pemilihan parti, katanya telah diputuskan pada Mesyuarat CWC yang dipengerusikan Vigneswaran pada Februari lepas.

Dijangka lebih 20,000 ahli jawatankuasa daripada lebih 4,000 cawangan di seluruh negara akan menunaikan tanggungjawab menentukan barisan kepimpinan pusat parti berusia 75 tahun itu.

Advertisement

Jawatan Timbalan Presiden MIC kini disandang Datuk Seri M Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia manakala jawatan naib presiden disandang oleh Datuk T Mohan, Datuk C Sivaraajh dan Datuk T Murugiah.

– Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel