Connect with us

Politik

Muhamad Sanusi perlu sedia berdepan tindakan

GEORGE TOWN: Pemimpin yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) perlu bersedia menghadapi tindakan tegas daripada pihak berkuasa termasuk dari segi undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata pemimpin sedemikian terutamanya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapan beliau yang terus menyentuh isu 3R.

“Menteri Besar Kedah telah terlajak jauh dalam erti kata lain bukan sahaja berlaku kelantangan malah berupa nada penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapannya baru-baru ini dan perkataan berunsur penghinaan kepada lawan politik, mempersendakan tubuh badan, ini bukan sebagai pemimpin parti Islam.

Pihak pasukan polis iaitu Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) telah memaklumkan kepada saya berdasarkan aduan-aduan diterima yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan setakat ini 30 laporan polis diterima terhadap Muhammad Sanusi,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini malam semalam.

Advertisement

Beliau berkata laporan berkenaan melibatkan beberapa kes termasuk penghinaan terhadap Sultan Selangor dan pihak USTJ ada masa tujuh hari untuk menyelesaikan satu-satu siasatan 3R itu sebelum diserahkan kepada Peguam Negara.

Saifuddin Nasution berkata peringatan tegas telah diberikan berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain supaya isu berkenaan 3R itu tidak wajar sama sekali disentuh tetapi Menteri Besar Kedah itu masih memainkan isu berkenaan yang disifatkan beliau sudah sampai ke tahap yang berbahaya.

Katanya dalam politik boleh berbeza pendapat dan aliran tetapi peringatan sudah diberi berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri atau Ketua Polis Negara yang mana soal 3R tidak boleh dimainkan atau disentuh.

“Laporan akhir (kes terkini berkaitan isu 3R melibatkan Muhammad Sanusi) menjadi signifikan perlunya tindakan tegas diambil, jika tidak kesannya sangat besar. Tidak ada lagi rasa hormat kepada Institusi Raja-Raja Melayu seperti mana peranan mereka diiktiraf di dalam Perlembagaan.

Institusi Raja-Raja Melayu ini dihina oleh orang Melayu sendiri, ini sudah sampai ke tahap yang berbahaya kerana sekarang ini kita tengok kesan yang besar apabila pemimpin politik memainkan isu 3R, tiada lagi rasa hormat pada Institusi Raja-Raja Melayu yang sangat dihormati, sebagaimana yang diiktiraf dalam perlembagaan negara,“ katanya.

Advertisement

Saifuddin Nasution berkata beliau percaya sebahagian besar rakyat tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang menyentuh mengenai isu 3R.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterajui Razarudin untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan undang-undang negara dalam mendepani cabaran termasuk menguruskan isu berkaitan 3R.

“Saya tahu cabaran pasukan keselamatan ini semakin berat dengan tugas hakiki KDN (Kementerian Dalam Negeri) iaitu dalam soal memastikan keselamatan negara. Sebab itu, saya sentiasa memberi dukungan yang kuat dan meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kebijaksanaan yang ada pada teraju utama iaitu Ketua Polis Negara dan seluruh pimpinan utama (dalam menangani isu berkaitan 3R),“ katanya. -Bernama

Jemput subscribe Youtube rasmi Malaysian Update DI SINI

Follow Malaysian Update di Tiktok untuk lebih video DI SINI

Advertisement

Dapatkan berita terkini dengan mudah & pantas! Follow Telegram MalaysianUpdate DI SINI

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel