Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai sebuah parti politik.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi, yang mewakili PEJUANG berkata, pihak ROS sudah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja PEJUANG, Datuk Amiruddin Hamzah, mengenai penolakan permohonan itu jam 5.50 petang semalam, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur, lapor Bernama.
“Kita menunggu arahan anak guam untuk tindakan seterusnya kerana dalam proses ini arahan yang ada mungkin untuk merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Seri Mariana Yahya.
Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan PEJUANG bagi mencabar tindakan ROS yang masih belum meluluskan pendaftaran parti itu.
Mior Nor Haidir berkata, berikutan keputusan ROS itu, PEJUANG menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman itu atas alasan ia menjadi akademik.
Menurut laporan portal Projek MM, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) juga tidak meluluskan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Menurut sumber, perkara itu disampaikan RoS menerusi sebuah emel pada semalam.
“Ya, permohonan pendataran Muda telah ditolak RoS menerusi emel pada semalam,” katanya seperti dilapor Malay Mail.
Setakat ini, tidak dapat disahkan punca permohonan itu ditolak RoS.
Pada 17 September tahun lalu, Muda telah menghantar borang permohonan pendaftaran kepada RoS selain menuntut agar proses tersebut dipercepatkan.