Connect with us

Berita Lain

Pelaburan KWSP: Dr Mahathir Dinasihat Baca Kenyataan 2005

Foto: Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dinasihatkan agar melihat semula kenyataannya yang dibuat 12 tahun lalu
yang menyatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu melabur  lebih banyak di seberang laut agar pencarum
dapat menerima dividen yang lebih baik.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek berkata, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu pada 26 April
2005, justeru amat mengejutkan apabila beliau mengeluarkan kenyataan bercanggah
dengan mengkritik pelaburan Khazanah serta KWSP di Amerika Syarikat baru-baru
ini.
“Berita untuk mengingatkan beliau (Dr Mahathir) boleh dibaca
di http://tinyurl.com/epf-DrM2. Pada masa itu beliau (Dr Mahathir) berkata KWSP
mempunyai dana yang besar berjumlah RM240 bilion dan pelaburan domestik
bermakna pulangan yang rendah. Beliau berkata KWSP mesti melabur di luar negara
bagi meningkatkan pendapatannya.
“Hari ini, setakat akhir Jun 2017, dana KWSP mencecah
RM759.78 bilion – lebih tiga kali ganda berbanding  ketika Dr Mahathir membuat kenyataan itu,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno
berkata, KWSP sudah menjelaskan bahawa pelaburan luar negara mereka, atau 29
peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, menyumbang  32.5 peratus kepada pendapatan pelaburan
keseluruhan bagi suku kedua 2017.
Ahmad Shabery berkata, pelaburan seberang laut juga memberi
pulangan atas pelaburan tahunan 11.10 peratus setakat Jun 2017 – jauh mengatasi
prestasi pelaburan tempatan KWSP.
“Saya terkejut bila tahu Tun (Dr Mahathir) sekarang sudah
menukar fikiran dan pandangan  dengan
mengkritik pelaburan Khazanah dan KWSP di AS. Ini menunjukkan beliau bermain
politik kebencian sambil mengetepikan kebajikan serta kepentingan rakyat,”
katanya.
Menurut Ahmad Shabery, melabur di luar negara bukan perkara
baharu bagi Khazanah dan KWSP.
Khazanah telah membuka pejabat di Lembah Silikon, AS pada
2013 dan pada 2014, Khazanah memperoleh lebih US$1 bilion menerusi penyenaraian
Alibaba di AS – pulangan lima kali ganda pelaburan mereka, katanya.
Menurut beliau sebahagian besar dana untuk pelaburan semasa
berjumlah US$400 juta dalam firma teknologi di AS datang daripada keuntungan
Alibaba.
“KWSP juga merekodkan kejayaan besar menerusi pelaburan
dalam projek infrastruktur di seberang laut. Pada 2013, KWSP bersama-sama
syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby dan SPT Setia yang pemegang saham
utamanya ialah PNB (Permodalan Nasional Berhad), dianugerahi projek bernilai
berbilion pound untuk membangunkan Battersea di London,” katanya.
Menurutnya projek Battersea merupakan projek berpotensi
besar  yang bermakna lebih banyak
keuntungan akan diperoleh syarikat-syarikat terbabit.  
“Saya harap  Tun dan
(pakatan pembangkangnya) Pakatan tidak mencetuskan keraguan terhadap keputusan
pelaburan yang dibuat pengurus dana profesional terbabit memandangkan mereka
mempunyai rekod yang cemerlang dalam pelaburan di luar negara.

“Kejayaan mereka bermakna rakyat Malaysia mendapat manfaat
daripada keputusan mereka melabur di luar negara. Adakah salah untuk pemegang
dana ini mencari pelaburan terbaik – sama ada di dalam mahupun di luar negara –
yang akan memaksimum pulangan simpanan rakyat biasa?” soalnya. – Bernama

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel