Connect with us

Politik

Sanusi: K’jaan Kedah Tak Pernah Anugerah Projek Bernilai RM1.3 Bilion

Kerajaan Kedah tidak pernah menganugerahkan sebarang projek bernilai RM1.3 bilion kepada mana-mana pihak, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi berkata sebaliknya litar lumba yang akan dibangunkan oleh sebuah syarikat di Langkawi adalah projek pelaburan syarikat swasta yang menjalin kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad sebagai pemilik tanah.

“Kerajaan negeri juga tidak memiliki wang sebanyak itu untuk melaksanakan projek pembangunan, apatah lagi projek berkaitan litar perlumbaan kereta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Dia mengulas tindakan ahli PKR S Indrani yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini selepas mendakwanya menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Advertisement

Ahli PKR cabang Sungai Siput itu mendakwa mempunyai bukti bahawa projek berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat dan pengasasnya, yang juga antara pengarah syarikat tersebut, telah muflis.

Sanusi berkata rundingan dan kerjasama projek pelancongan itu juga adalah antara syarikat dengan syarikat dan bukan antara individu dengan individu.

Dia juga berkata dakwaan ahli PKR itu bahawa terdapat individu tertentu yang didapati muflis terbabit dalam syarikat tersebut adalah urusan dalaman yang tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Kedah.

“Kerajaan (negeri) berpandangan ahli PKR itu yang membuat tuduhan ‘salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri kepada syarikat itu’ adalah tidak cermat dan hanyalah satu propaganda politik,” katanya.

Sanusi berkata kerajaan negeri sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan di Kedah.

Advertisement

Dia berkata kerajaan negeri juga sentiasa terbuka untuk mengkaji, menerima dan bekerjasama dalam sesuatu cadangan pelaburan di Kedah, jika ada pihak swasta yang memiliki keupayaan kewangan, pengalaman dan kesungguhan untuk melabur dalam sebarang projek yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor ekonomi di Kedah.

“Pencapaian dan kepercayaan para pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini,” katanya.

-Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel