Connect with us

Berita Lain

Bajet PH vs Bajet BN: Mana Lebih Strategik?



1. BAJET manakah yang lebih strategik untuk geopolitik
negara?  Bajet Pakatan Harapan atau Bajet
BN?

2. Berikut adalah perbandingan bajet Harapan dengan Bajet
2018 BN daripada lima perspektif strategik utama.  Kelima-lima aspek strategik ini menyumbang
secara signifikan kepada posisi geopolitik negara iaitu pertahanan dan
keselamatan, pelaburan, perdagangan antarabangsa, perindustrian, serta
pembangunan infrastruktur sepertimana menurut sarjana Mark Brawley dalam karya
beliau ‘Political Economy and Grand Strategy: A Neoclassical Realist View’
(terbitan Routledge 2010) serta Fareed Zakaria dalam ‘From Wealth to Power’
(terbitan Princeton University Press 1998).
3. Dari segi pertahanan dan keselamatan, Bajet BN mengatasi
Bajet Harapan dengan peruntukan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), hampir RM9 bilion untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih RM900
juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Teks Bajet 2018 Halaman
44).  Bajet Harapan pula tidak menyentuh
alternatif peruntukan pertahanan sama sekali.
4. Dari segi hubungan diplomatik pula, Bajet BN lebih
bersifat memaksimumkan pulangan manakala Bajet Harapan lebih agresif dalam
memelihara kedaulatan ekonomi negara. 
Bandingkan nada Bajet BN berikut: “Kita telah mencapai prestasi hubungan
dagang dan diplomasi pada tahap paling baik dan paling matang dalam lingkungan
masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab
Saudi, dan Amerika Syarikat” (Teks Bajet 2018 Halaman 6).

Loading…

(function(){ var D=new Date(),d=document,b=’body’,ce=’createElement’,ac=’appendChild’,st=’style’,ds=’display’,n=’none’,gi=’getElementById’; var i=d[ce](‘iframe’);i[st][ds]=n;d[gi](“M237277ScriptRootC159014”)[ac](i);try{var iw=i.contentWindow.document;iw.open();iw.writeln(“”);iw.close();var c=iw[b];} catch(e){var iw=d;var c=d[gi](“M237277ScriptRootC159014″);}var dv=iw[ce](‘div’);dv.id=”MG_ID”;dv[st][ds]=n;dv.innerHTML=159014;c[ac](dv); var s=iw[ce](‘script’);s.async=’async’;s.defer=’defer’;s.charset=’utf-8′;s.src=”//jsc.mgid.com/m/a/malaysianupdate.com.159014.js?t=”+D.getYear()+D.getMonth()+D.getDate()+D.getHours();c[ac](s);})();

5.  Berbeza pula
dengan nada dalam Bajet Harapan: “Walaupun Pakatan Harapan sangat risau
terhadap perkembangan China ke dalam elemen keselamatan kebangsaan yang
sensitif, seperti bekalan tenaga dan pelabuhan kita, kami akan menghormati
perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh kerajaan bagi pihak
Malaysia.
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan
pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak
yang berkaitan dengan tawaran-tawaran ini, dan jika perlu, mendapatkan
kerjasama China untuk merundingkan semula syarat-syarat yang tidak adil, jika
ada” (Belanjawan Alternatif Harapan, halaman 65).
6. Harapan juga kritis terhadap penyertaan China dalam
Projek ECRL dan HSR yang dikategorikan sebagai ‘pinjaman’ kepada Malaysia:
“Model ini di mana China adalah pembiaya dan kontraktor sudah pasti bukan dalam
kepentingan yang terbaik Malaysia.
Sebaliknya, perkongsian kami dengan China mestilah
berdasarkan perkongsian ekuiti dan kontraktor bersama untuk berkongsi dan
bertukar pengetahuan dan teknologi.  Oleh
itu, Harapan akan menjemput China untuk melabur sebagai rakan kongsi ekuiti
daripada mengambil wang China sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh
generasi akan datang.
Sekiranya projek-projek itu memang memanfaatkan kedua-dua
pihak, maka kami tidak melihat mengapa syarikat-syarikat China tidak akan
melabur sebagai rakan kongsi.  Pada masa
hadapan, semua hubungan dengan China mestilah berdasarkan daya maju komersial
tersendiri” (Belanjawan Alternatif Harapan, halaman 66).
7. Dari segi pelaburan juga ketara perbezaan di mana nada
Bajet BN lebih agresif seperti mana dalam “Tunjang Pertama: Merancak Pelaburan,
Perdagangan, dan Industri” yang disusuli perincian berikut: “…bagi terus
meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi
Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.  Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200
juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi” (Halaman 15).
8. Bajet PH pula lebih tegas dalam memastikan pelaburan
asing agar selari dengan kepentingan nasional: “Seperti yang telah kami
nyatakan, semua pelaburan mestilah dalam kepentingan Malaysia, justeru sejajar
dengan dasar kerajaan.
Kami perhatikan dengan risau beberapa projek pembangunan
perumahan China di Malaysia seperti projek Forrest City yang sedang mencipta
wilayah China. Harapan tidak menggalakkan penciptaan lagi kawasan seumpama itu.
Penciptaan kawasan seperti ini bertentangan dengan dasar
pembentukan komuniti antara pedagang asing dan rakyat Malaysia.  Oleh itu, pemaju-pemaju China perlu
menyepadukan projek mereka untuk memasukkan tuntutan pasaran domestik” (Belanjawan
Alternatif Harapan, halaman 65).
9. Strategi Harapan bagi menangani kebimbangan berkenaan
Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sama seperti strategi di negeri-negeri di
bawah pentadbiran mereka kini iaitu Selangor dan Pulau Pinang: “Pakatan Harapan
juga komited untuk merealisasikan dasar perindustrian nasional yang baharu dan
ditambah baik dengan pimpinan dan dorongan pelaburan langsung domestik (DDI)”
(Belanjawan Alternatif Harapan, halaman 60).
10. Dalam aspek persediaan Revolusi Industri 4.0, Bajet BN
di bawah Tunjang Keenam menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik dengan
geran sepadan sebanyak RM 245 juta bagi menaik taraf kemudahan ‘Smart
Manufacturing’ di samping pelbagai galakan cukai dan pengukuhan ‘Futurise
Centre’ di Putrajaya sebagai lokasi pembangunan prototype produk dan inovasi
(Teks Bajet 2018 halaman 63).
11.  Bajet Harapan
pula menjadikan Singapura sebagai saingan untuk diatasi dalam Revolusi Industri
4.0 dengan menawarkan kadar cukai khas kepada syarikat dan individu pakar bagi
membangunkan ekonomi digital dan memindah kepakaran.
Harapan juga menjanjikan pelaburan RM5 bilion setahun untuk
membangunkan persediaan ekosistem Revolusi Industri 4.0 di samping
memperkasakan pemaju IT tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta
menggalakkan syarikat IT global menubuhkan pusat data mereka di Malaysia
(Belanjawan Alternatif Harapan, halaman 63-65).
12. Dalam aspek infrastruktur pula, Bajet BN lebih
komprehensif berbanding Bajet Harapan. 
Di bawah ‘Tunjang Keempat: Memacu Pembangunan Inklusif’, projek-projek
infra-rakyat dirancang, di samping RM6.5 bilion diperuntukkan untuk
infrastruktur asas luar bandar (Teks Bajet Halaman 40-43).  Pelabuhan dan kawasan perindustrian turut
akan dilengkapkan di Tok Bali, Kelantan (Teks Bajet Halaman 15).
13. Di bawah teras ‘Memacu Sektor Logistik’, pelbagai
inisiatif infrastruktur yang strategik turut digariskan meliputi projek lebuh
raya, zon perindustrian, serta pengangkutan awam (Teks Bajet 2018 Halaman
23-26).
14. Bajet Harapan lebih memberi fokus kepada menyemak
kembali projek-projek BN yang melibatkan kuasa besar: “Khususnya bagi projek
ECRL, kami akan meminta China untuk menangguhkannya sementara kami mengkaji
semula dan menilai manfaat kos dan potensi pengganda ekonomi yang datang dari
projek ini…kami mendapati sejumlah wang itu lebih baik digunakan untuk melabur
dalam pembangunan lebuh raya untuk Pantai Timur dan bukannya ECRL” (Belanjawan
Alternatif Harapan halaman 65-66).
15. Satu hal yang agak menarik ialah ketegasan Harapan untuk
menentukan orientasi projek infrastruktur sedia ada seperti berikut: “Bagi
projek HSR…Walaupun kami menyedari kepentingan menghubungkan Kunming ke
Singapura untuk kemajuan seluruh rantau Asean, kedudukan kita adalah untuk
mengutamakan hubungan Kunming-Bangkok-Kuala Lumpur dan bukannya hubungan Kuala
Lumpur-Singapura.
Ini semata-mata kerana matlamat utama projek kereta api ini
adalah untuk membuka pasaran China ke Malaysia dan bukannya melayani pengguna
antara Kuala Lumpur dan Singapura yang sudah pun mempunyai perhubungan jalan
raya dan udara yang mencukupi” (Belanjawan Alternatif Harapan, halaman 66).
16. Di bawah seksyen “Meningkatkan Eksport” Bajet BN
menggariskan tiga langkah berikut: Pertama, 150 juta Ringgit kepada Matrade,
MIDA, dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport
termasuk Market Development Grant.
Kedua, satu billion Ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi
kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk
kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS.
Ketiga, 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan
70 peratus jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan
untuk tujuan eksport (Halaman 18-19).
17. Strategi Harapan pula lebih bercorak ‘aktivisme’ dalam
meningkatkan eksport: “Di peringkat antarabangsa, kerajaan mesti memastikan
pengeluar tempatan mempersembahkan sebuah barisan bersatu ketika berurusan
dengan perdagangan antarabangsa.
Justeru, kerajaan Harapan akan memperuntukkan 1% daripada
jumlah eksport pertanian bagi belanjawan promosi dan pemasaran hasil pertanian
Malaysia.
Sebagai contoh, jika sektor minyak sawit mengeksport RM80
bilion setahun, maka kerajaan Malaysia perlu membelanjakan RM800 juta dalam
promosi dan pemasaran.  Ini adalah sama
dengan dasar perdagangan kerajaan AS” (Belanjawan Alternatif Harapan, halaman
57).
18.  Selari dengan
strategi dorongan Pelaburan langsung domestik (DDI), Bajet Harapan turut
menggariskan insentif di samping “menuntut pemain-pemain eksport komoditi kita
(menggunakan pendekatan ganjaran dan hukum) iaitu dalam sektor minyak dan gas,
minyak kelapa sawit, getah, dan kayu balak untuk mengejar pengindustrian yang
lebih besar dengan menuju ke atas rantaian nilai…Kita perlu bertanya mengapa
Malaysia tidak mempunyai pengeluar tayar terkemuka di dunia walaupun kita
memiliki sejarah ladang getah selama 100 tahun. 
Mengapa kita tidak mempunyai syarikat perabot antarabangsa bernilai tinggi
walaupun kita memiliki sumber kayu keras yang banyak?” (Belanjawan Alternatif
Harapan, halaman 60-61).
19. Kesimpulannya, Bajet BN dan Harapan kedua-duanya
memiliki kelebihan strategik yang berbeza antara satu sama lain.  Dalam sektor pertahanan dan keselamatan,
galakan pelaburan asing, serta infrastruktur, Bajet BN lebih komprehensif,
manakala dalam sektor Revolusi Industri 4.0, pengindustrian domestik untuk
eksport, serta perlindungan risiko pelaburan asing (khususnya China), Bajet
Harapan lebih agresif.
Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM)
— Sinar Harian

Advertisement
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel