Connect with us

Mahkamah

Rosmah tak hadir hari pertama perbicaraan kes rasuah sebab tak sihat, pendakwaan mohon waran tangkap

Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menarik balik jaminan dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, berikutan kegagalan menghadiri perbicaraan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya.

Terdahulu, kes rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM5 juta yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Loading…

Bagaimanapun, sebaik prosiding bermula jam 2.10 petang, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memaklumkan anak guamnya tidak dapat menghadiri perbicaraan kes berikutan tidak sihat dan mendapat cuti sakit daripada Hospital KPJ Ampang Puteri bertarikh 2 Februari.

Jagjit memohon butiran penyakit anak guamnya tidak dibacakan di mahkamah atas alasan ia akan dilaporkan media, namun menyebut salah satu penyakit dialami Rosmah adalah Adesonian Crisis.

Advertisement

“Hasil carian menerusi Google, penyakit Asedonian Crisis mampu mengancam nyawa dan laporan perubatan doktor menyatakan pesakit memerlukan tempoh seminggu hingga dua minggu untuk pulih.

“Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon perbicaraan minggu ini dilapangkan,” katanya.

Sri Ram kemudian membantah permohonan itu dan memaklumkan ia adalah cubaan Rosmah di saat-saat akhir untuk tidak menghadiri perbicaraan terhadap pertuduhan dihadapinya.

“Pihak pendakwaan juga membantah permohonan pembelaan untuk tidak mendedahkan penyakit dialami tertuduh.

“Penyakit sebenar Rosmah adalah beliau terdedah kepada terlalu banyak publisiti dan tidak mahu menghadirkan diri ke mahkamah.

Advertisement

“Pihak pendakwaan hanya akan menerima surat cuti sakit tertuduh sekiranya beliau memberikan notis lebih awal dan diperiksa oleh doktor kerajaan,” katanya.

Sri Ram kemudian memohon mahkamah menarik balik ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah.

“Sekiranya ditahan di lokap, beliau akan lebih rela untuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Sebaik mendengar permohonan itu, suasana mahkamah bertukar tegang apabila Jagjit mengungkit tindakan pihak pendakwaan yang menarik balik pertuduhan terhadap bekas pegawai khas Najib, Rizal Mansor, yang sebelum ini didakwa bersama Rosmah, pada saat-saat akhir.

“Pembelaan tidak meminta keseluruhan perbicaraan dilapangkan, sebaliknya sehingga 8 Februari ini saja,” katanya.

Advertisement

Melihat keadaan bertukar tegang, Mohamed Zaini memaklumkan mahkamah bersimpati dengan keadaan tertuduh dan bersedia memenuhi keperluan Rosmah untuk menggunakan kerusi roda sepanjang perbicaraan.

“Bagaimanapun tarikh perbicaraan di mahkamah ini adalah sangat berharga dan hanya akan membenarkan penangguhan untuk hari ini, manakala tarikh esok dilapangkan.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula Rabu ini dan membenarkan tertuduh menggunakan kerusi roda,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Rosmah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Advertisement

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber: Berita Harian

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel