Connect with us

Jenayah

Hukuman Ke Tali Gantung Kekal, Bekas Pencuci Kapal Menangis

PUTRAJAYA: Seorang bekas pencuci kapal yang disabitkan membunuh seorang ahli perniagaan dengan menikam dan membakar mayat mangsa tujuh tahun lalu, hari ini gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di sini untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan Izwanuddin Kasim, 41, selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

“Setelah meneliti rekod rayuan dan alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan, kami mendapati tidak ada apa-apa kekhilafan dilakukan oleh kedua-dua mahkamah berkenaan.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mensabitkan perayu bagi kesalahan membunuh adalah dikekalkan. Dengan ini rayuan perayu ditolak,” kata Ong yang bersidang bersama-sama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Advertisement

Selepas panel hakim menyampaikan keputusan itu, Izwanuddin dilihat menangis dan dipeluk oleh bapanya serta ditenangkan oleh ahli keluarga yang hadir pada prosiding hari ini.

Pada 1 Oktober 2017, dia didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru manakala rayuannya ditolak pada 30 September 2019.

Izwanuddin bersama dengan seorang lelaki warga Singapura, Noriskandar Zainal Yahya, didakwa membunuh Yong Boon Cheong, 54, di Jalan Skudai, Danga Bay antara 6 dan 7 pagi pada 4 Julai 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, selepas perbicaraan bermula pada Mac 2015, pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Noriskandar mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan kerana membantu melupuskan mayat.

Lelaki itu kemudian mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Advertisement

Terdahulu, peguam Rosli Kamaruddin berhujah bahawa tiada keterangan kukuh yang menunjukkan perayu menggunakan senjata untuk menikam dada mangsa dan seterusnya menyebabkan kematian Yong.

“Ada enam orang yang terbabit dalam memukul mangsa dan anak guam saya hanya menggunakan tangan dan kakinya ketika melakukan perbuatan itu tanpa sebarang senjata,” katanya sambil menambah pendakwaan juga gagal memanggil seorang wanita dikenali sebagai ‘Ros Elly’ yang didakwa terlibat dalam insiden itu untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Abd Latif pula berhujah saksi pendakwaan ke-15 (SP15) iaitu seorang pemandu teksi dalam keterangannya berkata dia telah melihat satu pergaduhan membabitkan perayu, si mati dan seorang wanita semasa menurunkan penumpang di Polo Park.

“SP15 menyatakan dia nampak perayu menumbuk muka si mati menggunakan buku lima selain terdapat keterangan mencukupi daripada saksi pendakwaan lain bahawa perayu menikam mangsa,” katanya.

Beliau berkata pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas Yong dalam keterangannya menyatakan bahawa punca kematian adalah disebabkan tusukan ke jantung dan mangsa mati sebelum dibakar.

Advertisement

“Sabitan ke atas perayu adalah selamat dan mohon keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” katanya. – BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel