Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi sokongan penuh terhadap keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad melantik peguam Latheefa Koya untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meskipun perkara itu ditentang oleh segelintir pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar yang juga Presiden PKR menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada Latheefa untuk menjalankan tugas, selain yakin bahawa Perdana Menteri dan pakatan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil kira maklum balas orang ramai dan akan menjelaskan keputusan itu kepada kabinet dan majlis presiden lapor Malay Mail.
“Saya seru kepada semua rakan-rakan untuk menerima keputusan Tun Dr Mahathir dan memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk menjalankan tugas mereka dengan tegas dan berkesan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Sebelum ini pelantikan Latheefa mengundang kritikan pelbagai pihak kerana Mahathir membuat keputusan tanpa berbincang dengan kabinet dan melalui parlimen.
Satu petisyen atas talian bagi mendesak Latheefa untuk meletak jawatan turut dilancarkan menerusi laman web change.org.
Dalam masa yang sama terdapat satu lagi petisyen atas talian yang menyokong pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.
Baca: Nik Nazmi sokong petisyen gesa Latheefa Koya letak jawatan, seru rakyat tandatangan petisyen
Baca: Dr M: Keputusan pelantikan Latheefa Koya muktamad
Mereka menyokong keputusan perdana menteri itu sebagai tepat dan menyifatkan bekas anggota PKR itu sangat tegas dan merupakan orang yang paling sesuai memegang jawatan tersebut.