Seorang pesakit kanak-kanak dilaporkan maut dipercayai kerana ambulans dinaikinya terlewat tiba ke hospital. Hal ini dipercayai susulan tindakan seorang pengguna jalan raya yang enggan memberi laluan kepada ambulans berkenaan.
Dalam kejadian di Kabupaten Garut, Jawa Barat, seorang individu dipercayai pemandu ambulans tersebut menceritakan semula bagaimana kenderaan mereka dihalang individu berkenaan.
Kongsi Fauzi, seperti dipetik Kompas.com, pemandu kereta berkenaan sengaja menghalang ambulans dipandunya selain ‘mengajak’ mereka berlumba.
Susulan itu, ambulans itu dikatakan tidak dapat memintas kenderaan lain sehingga beberapa kilometer sebelum tiba ke hospital. Sebaik tiba di hospital, pesakit yang dibawa dilaporkan telah meninggal dunia.
“Untuk kereta yang menghalang ambulans, tidak memberi jalan malah mengajak berlumba, pesakit yang pecah pembuluh darahnya harus mendapatkan (rawatan) kecemasan.
“Pesakit anak kecil, sampai hospital meninggal dunia. Ambulans hanya minta waktu sebentar sahaja untuk ke tepi kerana ada pesakit yang harus diselamatkan.
“Dan untuk pemandu lain terima kasih kerana memberikan jalan,” tulis Fauzi di laman FB miliknya.
Sebelum ini, seorang bayi dilaporkan meninggal dunia di dalam kandungan apabila ambulans dinaiki ibunya tersekat di dalam sekatan jalan raya di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Sumber: Kompas.com, Fauzi, SiakapKeli