Sebelum ini ciapan akaun Twitter Public Health Malaysia mencuri perhatian netizen apabila berkongsi tentang kisah seorang doktor wanita yang hamil 29 minggu disahkan positif COVID-19.
Dalam pada itu, Public Health Malaysia turut mengajak orang ramai sama-sama mendoakan wanita yang dikenali sebagai Dr Fatihah itu serta anak dalam kandungannya.
Jom sama² doakan Dr. Fatihah dan baby dalam kandungan yang berusia 29 minggu selamat melawan Covid-19.
Semoga doa kita semua makbul. Amin!
🤲🏻🤲🏻🤲🏻#KitaJagaKita#COVID19isREAL#LindungiDiriLindungiSemua pic.twitter.com/jeGwp40fIU— Public Health Malaysia (@health_malaysia) June 6, 2021
Memetik laporan dari Harian Metro, bayi Dr Fatihah telah selamat dilahirkan.
Bapa saudaranya, Mohd Ali Mohd Derus berkata, ujian yang dilalui Dr Fatihah cukup getir apabila dia juga sedang mengandungkan bayi yang sudah pun berusia 29 minggu.
“Tapi Alhamdullilah, malam tadi doktor (di Hospital Sungai Buloh) maklumkan bayinya selamat dilahirkan dan terpaksa dikeluarkan lebih awal bagi mengelak sebarang komplikasi lebih buruk,” katanya ketika dihubungi BH.
Beliau berkata, Dr Fatihah pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kajang pada 30 Mei lalu selepas dimaklum dijangkiti kuman pada paru-parunya, sebelum disahkan positif sehari selepas itu.
“Pada 3 Jun (Khamis lalu), dia dipindahkan ke ICU di Hospital Kajang sebelum dihantar ke ICU Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lebih rapi,” katanya turut memaklumkan Dr Fatihah kini bertugas di Hospital Kajang, namun bukan mengendali kes-kes berkaitan Covid-19.
Mohd Ali berkata, selain Dr Fatihah, ahli keluarganya termasuk suami dan dua lagi anaknya, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dikuarantin di rumahnya.
“Selain suami dan anak, adik Dr Fatihah serta ibu dan ayahnya juga disahkan positif. Tehah memang kerap hantar anak mereka untuk dijaga ibu bapanya di Beranang, Selangor disebabkan rumah mereka dekat,” katanya.
Setelah menjalani pembedahan tersebut, seorang doktor di Twitter memberitahu pihak keluarga melaporkan bahawa si ibu dan bayi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Saya telah menerima maklumat dari keluarga terdekat dan mendapat kebenaran untuk memberitahu berita ini di media sosial.
Alhamdulillah, ibu telah selamat pembedahan caesar. Kedua-dua anak dan ibu stabil tapi masih di ICU.
Keluarga berterima kasih atas doa kalian semua. https://t.co/Sb100StJYl
— Khairul Hafidz (@khairul_hafidz) June 6, 2021