Baru-baru ini tersebar video rakaman CCTV menunjukkan seorang pelanggan lelaki menjilat tangan pekerja kedai vape. Hari ini, tertuduh yang juga merupakan seorang anggota tentera itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang.
Tertuduh, Zynetlee Von Zim yang dituduh mencabul kehormatan mangsa bagaimanapun mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret, Nur Maizan Rahim.
Kejadian yang berlaku pada 5 Oktober di Taman Keramat pada jam 1.28 tengah hari itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud cabul kehormatan remaja berusia 18 tahun.
Kesalahan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin meminta agar tertuduh dikenakan RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dilarang untuk mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan. Pasportnya juga perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Isteri tertuduh baru bersalin di Sabah
Peguam bela, Adi Zulkarnaik Zulkafli yang mewakili tertuduh bagaimanapun meminta agar ikan jamin dikurangkan. Ini kerana tertuduh perlu menanggung keluarga di Sabah dan isterinya pula baru sahaja melahirkan anak.
Disebabkan itu, mahkamah memutuskan RM4,000 sebagai ikat jamin dan sebutan semula kes akan berlangsung pada 12 Jan 2022.
Sumber: Berita Harian