Connect with us

Berita Lain

PM: TAMAN TUGU KINI DI BAWAH AMANAH WARISAN NEGARA


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini mengumumkan kerajaan telah meluluskan supaya Taman Tugu diletakkan di
bawah satu badan amanah awam yang dinamakan Amanah Warisan Negara.
Katanya dengan wujudnya badan amanah awam itu, kawasan Taman
Tugu akan dipindah milik kepada badan amanah awam yang dimiliki oleh rakyat
negara ini bagi memastikan ia terus terpelihara dan kekal hijau buat
selama-lamanya.
“Kawasan-kawasan hijau lain di seluruh negara ini juga
bakal diletakkan di bawah Amanah Warisan Negara, bagi mengekal dan melindungi
kawasan-kawasan tersebut untuk generasi anak cucu kita pada masa hadapan.
“Ini adalah komitmen dan janji kerajaan tatkala pihak
kerajaan terus berusaha memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam
ucapan pada program “Sepetang Bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman
Tugu’ di sini, hari ini.

Program itu adalah sebahagian daripada Hari Hasanah yang
julung kali diadakan , iaitu hari yang menyaksikan Khazanah Nasional Berhad
(Khazanah) bersama-sama dengan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Institut
Penyelidikan Khazanah, Think City, rakan kongsi rangkaiannya dan staf menyumbangkan
masa dan tenaga mereka untuk melakukan kerja amal demi kebaikan pihak lain.
Hari Hasanah adalah satu daripada inisiatif di bawah kempen
Khazanah ‘Negaraku, Negara Kita’ bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan
Hari Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan dan pemupukan perpaduan dan
patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri turut mengumumkan kawasan tambahan seluas
10.12 hektar bersebelahan tapak Projek Taman Tugu sedia ada seluas 26.7 hektar,
menjadikan keseluruhan kawasan seluas 36.82 hektar itu diletakkan di bawah
Amanah Warisan Negara.
“Justeru itu, jumlah keluasan keseluruhan Taman Tugu
ini akan menjadi 91 ekar (36.82 hektar). Jika Taman Tugu ini digabungkan dengan
Taman Botani Perdana yang ada bersebelahan dengannya, jumlah keseluruhan taman
hijau ini adalah sebanyak 331 ekar (133.95 hektar).
“Ini adalah serupa seperti bandar raya-bandar raya
terkemuka seperti di London, New York dan Tokyo yang mempunyai kawasan green
lungs di tengah-tengah bandarnya,” katanya.
Projek Taman Tugu itu dilancarkan Najib pada 4 Sept tahun
lepas, dengan anggaran kos RM650 juta, yang 75 peratus atau RM500 juta dibiayai
oleh Khazanah, akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap
sepenuhnya pada 2020.
Fasa pertama projek tanggungjawab sosial korporat Khazanah
dengan kerjasama beberapa kementerian serta syarikat swasta iru dijadual siap
pada pertengahan 2018.
Kawasan taman, yang terletak di belakang monumen Tugu
Negara, kini diliputi hutan sekunder akan diubah menjadi sebuah taman rimba
kota, dilengkapi kemudahan rekreasi dan pembelajaran untuk manfaat rakyat
negara ini.
Sementara itu, perdana menteri dalam catatan di laman
blognya NajibRazak.com berkongsi harapan mengenai Hari Hasanah yang aktiviti
utamanya adalah melakukan amal kebajikan bagi manfaat segenap lapisan
masyarakat.
“Saya yakin dan percaya semangat kesukarelawanan yang
disemai pada Hari Hasanah ini apabila dilakukan dengan ikhlas dan tanpa
mengharapkan balasan, mampu memupuk perpaduan, patriotisme dan semangat kekitaaan
antara semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Najib berkata inisiatif Hari Hasanah juga selaras dengan
matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) berpaksikan perpaduan, keterangkuman
dan keterlibatan, yang ia mengambil kira aspirasi rakyat Malaysia daripada
segenap lapisan masyarakat.
Mengenai Taman Tugu, perdana menteri berkata apabila ia siap
sepenuhnya kelak taman itu bakal menempatkan pelbagai tarikan termasuk 1,000
spesies flora dan fauna, kawasan perkhemahan, laluan mendaki dan pejalan kaki.
Sementara itu dalam satu lagi program Hari Hasanah yang
diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, yang disertai
kira-kira 7,000 penduduk sekitar kawasan itu, Najib merasmikan gelanggang
futsal Cruyff bagi Seri Semarak dan Air Panas.
Gelanggang serupa, di bawah usahasama Yayasan Hasanah dan
Johan Cruyff Foundation sebelum ini dilancarkan di Kampung Melayu Majidee,
Johor pada 2012, diikuti di Brickfields, di sini pada 2013.
Perdana menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam
beramah mesra dengan orang ramai pada program itu yang turut menyediakan
program bantuan guaman dan keluarga selain dimeriahkan dengan tutorial mekap
oleh Malaysia Airlines Berhad serta pelbagai bengkel untuk generasi muda dan
tua yang dikendalikan oleh pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan secara
percuma.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari semasa
ditemui pemberita berkata penganjur bercadang menjadikan Hari Hasanah sebagai
program tahunan pada Sabtu ketiga di antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari
Malaysia.
— BERNAMA

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel