Connect with us

Berita Lain

“KAMI POHON HANYA UNDI BAGI KAMI” – TUN MAHATHIR

Foto: Fb Parti Pribumi Bersatu Malaysia



MUAR: Rakyat tidak perlu berkorban nyawa untuk membolehkan
Pakatan Harapan (PH) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya
hanya perlu mengundi blok pembangkang bagi membolehkan perkara itu menjadi
kenyataan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pengerusi PPBM dan PH itu berkata sekiranya rakyat
memberikan mandat kepada mereka, pembangkang berupaya memulihkan negara
daripada “kerosakan” yang dilakukan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.

“Kami dalam PPBM dan PH tidak menuntut apa-apa untuk diri
kami dari rakyat.

“Di negara lain, rakyat sanggup mati untuk negara, yang kami
pohon hanyalah undi bagi kami pada pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya
berucap di majlis sambutan ulangtahun pertama PPBM di Bakri, malam tadi.

Bekas perdana menteri itu berkata negara akan dijajah semula
dan Malaysia akan hilang dari muka bumi jika Najib menang PRU ke-14 dan kekal
sebagai perdana menteri.

“Mungkin perdana menteri boneka yang bergerak dan bertutur
kata mengikut kehendak dalangnya,” katanya, di hadapan 5,000 penyokong dan ahli
PPBM seluruh negara yang berkumpul di Dewan Y Square Connexion di sini.

Dr Mahathir mengakui PPBM ada kelemahan tetapi yakin ia
dapat diatasi.

“Ya. Memang PPBM menghadapi masalah. Tetapi hampir semua
masalah ini telah dan akan diselesaikan.

“PPBM yakin akan kekuatannya dan keupayaannya memainkan peranan
penting dalam gabungan parti lawan, Pakatan Harapan,” katanya.

Dr Mahathir juga menolak dakwaan DAP akan mendominasi
gabungan PH, dan berkata wakil rakyat DAP lebih sedikit berbanding wakil rakyat
Melayu.

“Demikian juga kawasan dan wakil rakyat bukan Melayu tidak
melebihi Melayu.

“Tiga buah parti Melayu dalam PH jauh lebih ramai tetapi PH
tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan keadilan terhadap bukan Melayu,
layanan terhadap mereka akan menjadi sebahagian dari dasar kami,” katanya, di
sebalik kenyataan beberapa pemimpin Umno termasuk setiausaha akhbar perdana
menteri yang berkata PH dikuasai oleh DAP walaupun tidak ditonjolkan pada
barisan kepimpinan gabungan itu.

Dr Mahathir membuat perbandingan dengan kerjasama dalam BN
yang pernah dipimpinnya.

“Seperti mana Umno tidak didominasi MCA dan MIC, demikian
jugalah parti Melayu dalam gabungan PH tidak akan didominasi oleh DAP,”
katanya.

Tambahnya, PPBM tidak akan bersaing dengan rakan komponen
dalam PH dan ia yakin sikap sama diamalkan rakannya.

“Tetapi kita perlu perkukuh dan perbesarkan PPBM supaya
sokongan kita kepada PH akan menghasilkan kejayaan.

“Inilah tujuan kita, kepentingan peribadi tidak ada tempat
dalam perjuangan kita, hanya kepentingan negara, bangsa dan agama yang menjadi
matlamat perjuangan rakyat dan kita,” kata Dr Mahathir.



Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel